Golongan Kecewa Dalam Pembangkang Bukan Perkara Pelik Burukkan Kerajaan – Samsol Bari

Golongan Kecewa Dalam Pembangkang Bukan Perkara Pelik Burukkan Kerajaan – Samsol Bari

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Samsol Bari tidak hairan dengan tindak tanduk parti-parti pembangkang khususnya Parti Pribumi Bersatu (PPBM) dan juga PKR selain Parti Amanah Negara (PAN) dan Dap yang akan menggunakan mereka yang kecewa untuk kepentingan politik masing-masing.

Ini kerana menurut beliau kewujudan parti-parti itu sendiri adalah lahir daripada mereka yang kecewa dalam parti sebelum ini dan perkembangan mutakhir ini menyerlahkan sikap sebenar mereka yang hidup atas masipulasi isu demi survival politik peribadi dengan mengelirukan rakyat.

“Kita dapat lihat golongan ini yang mana apabila timbul sahaja isu maka merekalah yang akan ke depan…langkah awal memanipulasi sebaik mungkin termasuklah memesongkan fakta dengan tujuan apa yang diwar-warkan itu melekat pada kaca mata masyarakat.

“Memperalatkan mereka yang kecewa memang sudah menjadi ‘trend’ para pembangkang untuk menggunakan apa dan siapa sahaja yang mereka fikir boleh menguntungkan mereka.

“Sebab itulah kita tidak pelik dengan golongan ini kerana itulah modus operandi mereka,” katanya kepada UMNO-Online.

Samsol seterusnya berkata bahawa pakatan pembangkang tidak pernah serius memikirkan pelaksanaan yang terbaik untuk rakyat tetapi kemenangan dalam pilihan raya menjadi keutamaan dan sebab itulah pelbagai janji yang diutarakan juga banyak yang tidak masuk akal selain calon-calon yang akan mereka ketengahkan nanti.

“Berbanding dengan kita dalam Barisan Nasional (BN) yang menekankan calon yang mempunyai rekod serta boleh berkhidmat untuk masyarakat. Sebab itulah, BN terus fokus dan yakin tentang kebenaran selain membuktikan kepada masyarakat tentang hasil setiap rancangan dan kerja yang bermanfaat kepada rakyat dan negara,” katanya.

Serentak itu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kota Semarang seterusnya berharap rakyat dapat membuat penilaian termasuklah menapis dengan sebaik mungkin apa yang dilontarkan oleh parti pembangkang hari ini.

“Kita mesti menapis dulu sebarang info dari pembangkang kerana senjata mereka ialah fitnah serta menipulasi dan memperalatkan mereka yang kecewa. Dengan apa yang telah kita bawa hari ini menerusi BN, diharapkan rakyat dapat membuat pertimbangan sewajarnya dan tidak mudah dikelirukan oleh pembangkang,” katanya lagi.

Leave a Reply