Skim Perumahan Baharu – Jais

Skim Perumahan Baharu – Jais

PASIR GUDANG 24 Okt. – Kerajaan negeri sedang merancang untuk menyediakan skim perumahan baharu yang memberi fokus kepada individu berpendapatan antara RM8,000 hingga RM15,000 sebulan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md. Jais Sarday berkata, usaha itu dilaksanakan kerana kerajaan negeri menye­dari golongan berkenaan tidak layak memohon skim perumahan kerajaan sedia ada.

Beliau berkata, kerajaan nege­ri sedang berbincang mengenai perkara ini kerana mendapat ba­nyak pertanyaan, sama ada dari­pada pihak rakyat mahupun pemaju hartanah.

“Timbul isu berhubung go­longan berpendapatan antara RM8,000 hingga RM15,000 apabila mereka tidak layak untuk memohon skim Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

“Pemaju turut mengutarakan isu serupa, iaitu kerajaan negeri menyediakan inisiatif untuk perumahan bernilai antara RM200,000 hingga RM400,000,” katanya selepas merasmikan maj­lis penyerahan Kunci RMMJ dan Kedai Kos Sederhana Rendah (KKSR) Taman Pasir Putih yang dibangunkan Sime Darby Pro­perty Berhad, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Datuk Maulizan Bujang; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Hasrin Kamal Hashim dan Ketua Pegawai Operasi dan Transformasi Sime Darby Property, Datuk Wan Hashimi Albakri.

Md. Jais yang juga ADUN Mahkota berkata, kerajaan nege­ri di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin komited untuk menyediakan kediaman yang selesa dan mampu milik kepada rakyat negeri ini.

“Sejak tahun 2013 hingga kini, sebanyak 15,139 unit RMMJ telah disiapkan dan dijangka 15,000 unit lagi akan siap pada tahun depan.

“Kami komited untuk mencapai hasrat menyediakan sebanyak 60,000 unit RMMJ di seluruh negeri menjelang tahun 2020,” tambahnya. – Utusan Online

 

Leave a Reply