Sukan Perlu Dijadikan Sumber Ekonomi

Sukan Perlu Dijadikan Sumber Ekonomi

ISKANDAR PUTERI, 23 Okt. – Sukan harus dijadikan sebagai sumber pertumbuhan baharu ekonomi Johor kerana ia mempunyai nilai ekonomi dan komersial.

Justeru, para pentadbir dan penggerak sukan disaran bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi mencapai hasrat itu, sekaligus menjadikan Johor sebagai hab sukan negara dan rantau ini.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata ini kerana pihaknya mempunyai visi besar untuk memposisikan sukan sebagai sektor pertumbuhan ekonomi negara.

“Kita mesti memberi wajah baharu kepada sektor pembangunan sukan di Malaysia dan ia mesti bermula di Johor.

“Ia mesti dipelopori oleh persatuan dan kelab sukan yang ada. Pentadbir, pengurus kelab dan persatuan sukan mesti mempunyai misi dan visi mengangkat sukan Johor ke tahap lebih cemerlang,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Sukan Johor 2016 di Pinewood Studios Iskandar Puteri di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Dato’ Zulkurnain Kamisan; Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Azmi Rohani dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor, Mohd Gadaffie Abd Aziz.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, atlet, ahli sukan, kelab, pengurus dan penggerak persatuan sukan di Johor harus berupaya menggunakan sukan sebagai alat untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi.

Sukan itu, katanya, perlu dijadikan katalis pertumbuhan baharu yang mempunyai kelebihan dan keunikan tersendiri.

“Penganjuran sukan elit dan bukan elit umpamanya, membawa nilai komersial yang besar. Tetapi, cabarannya ialah bagaimana kita ingin melakukannya.

“Jika KL Marathon boleh menjadi acara global, kenapa Iskandar Marathon tidak boleh? Kita sebenarnya mempunyai banyak kelebihan dan keunikan yang mesti dibongkar potensi ekonominya dan dipromosikan melalui sukan dan aktiviti fizikal,” katanya.

Mengenai majlis itu, Mohamed Khaled berkata, kejayaan atlet Johor harus menjadi gelombang untuk membangunkan kebingkasan bangsa Johor.

“Sukan harus menjadi arena menjadikan bangsa kita yang bingkas. Bangsa yang aktif dan bertenaga, bersaing secara sihat, tidak pernah mengalah, kental dan berdaya tahan.

“Kebingkasan ini sangat penting kerana bangsa yang aktif dan bingkas adalah bangsa yang sihat fizikalnya, malah cerdas pemikiran dan stabil emosinya sekali gus melahirkan bangsa yang kuat,” katanya.

Tambah Mohamed Khaled, segala kejayaan atlet Johor juga sangat menyumbang kepada pengaruh, keterlihatan dan kedudukan Johor di peringkat nasional dan antarabangsa contohnya, pasukan Johor Darul Takzim (JDT)

“Kita menggunakan sukan untuk membina imej positif terhadap bangsa dan negeri kita. Melalui imej ini, kita dilihat berpengaruh, dikenali dan boleh dijadikan teladan,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 11 individu termasuk persatuan dan jurulatih sukan menerima Anugerah Sukan Johor 2016 yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Negeri Johor.

Dua anugerah tertinggi iaitu Anugerah Olahragawan dimenangi oleh Muhammad Shah Firdaus Sahrom (sukan berbasikal) yang diterima oleh wakilnya, manakala Anugerah Olahragawati pula dimenangi Pow Mei Foong (sukan bola jaring) sekali gus membawa pulang wang tunai RM7,000, trofi dan sijil.

Seramai 31 atlet Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) dari Johor turut menerima insentif bernilai RM129,000 dan trofi pada majlis itu. –JAUHAR

Leave a Reply