Bajet 2018: BN Tidak Terkejut Pembangkang Guna Skrip Lapuk ‘Bajet Gula-gula Pilihan Raya’

Bajet 2018: BN Tidak Terkejut Pembangkang Guna Skrip Lapuk ‘Bajet Gula-gula Pilihan Raya’

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abd Manap yakin bahawa pembangkang sudah pun menyiapkan skrip lapuk mereka dengan melabelkan Bajet 2018 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 27 Oktober ini sebagai ‘Bajet Gula-gula Pilihan Raya’,

Ini jelasnya memandangkan pada 27 Oktober nanti, Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan akan membentangkan bajet tahunan, Bajet 2018 yang pastinya akan memfokuskan kepada agenda utama kerajaan dalam membantu rakyat, dan pada masa yang sama memastikan ekonomi negara dapat terus berkembang.

“Bajet kali ini pastinya akan memberi tumpuan mencari kaedah terbaik kerajaan dalam menangani permasalahan kos sara hidup rakyat, keperluan tambahan berkaitan dengan pendidikan dan tumpuan berterusan membantu golongan B40 dan M40 menambah pendapatan mereka”, katanya kepada UMNO-Online di sini.

Tegasnya lagi walaupun berbagai usaha dan pendekatan yang dibuat kerajaan BN, namun di sebelah pembangkang pastinya segala usaha ini akan dilihat sebagai ‘gula-gula pilihan raya’, yang sering mereka momokkan sebagai ‘dedak’ untuk ditaburkan kepada rakyat bagi memastikan BN terus mendapat mandat dalam pilihan raya kelak.

“Bukan tahun lepas sahaja, malah setiap tahun pembangkang akan melemparkan pelbagai tuduhan selain memanipulasi fakta dan mewujudkan pelbagai provokasi bagi mengelirukan rakyat, tetapi kita tidak mengadakan pilihan raya sejurus selepas umumkan Bajet, malah kita sentiasa bersedia bila-bila masa… itulah hakikatnya komitmen kerajaan dalam usaha memperbaiki kehidupan rakyat.

“Kalau nak ikutkan ‘bajet gula-gula pembangkang’ ini, rasanya sepanjang sepanjang 2013 sehingga ke hari ini, dah empat kali bajet dibentangkan.

“Justeru, biarkanlah pembangkang dengan tohmahan mereka, malah mereka sendiripun ada keluarkan ‘bajet alternatif’ mereka setiap tahun, yang lagi tidak logik,” ujarnya.

Sebaliknya jelas beliau kerajaan perlu fokus dalam usaha menangani kepentingan rakyat kerana sememangnya ini adalah bajet terakhir sebelum berakhir penggal dan suka atau tidak apa sahaja yang dibuat terdahulu atau yang sedang dirancangkan mestilah memenuhi kehendak rakyat yang menjadi ‘pelanggan utama’ kepada BN dan kerajaan.

“Sebagai orang muda, saya pastinya berharap agar kerajaan memberi perhatian terhadap golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40) pada pembentangan Bajet 2018, bagi memastikan golongan itu dapat menempuh cabaran kehidupan masa kini terutama bagi menampung kos kehidupan.

“Kita berharap kerajaan akan lihat kepada soal bagaimana hendak mengatasi kos hidup rakyat dan pada masa yang sama memberi perhatian kepada golongan M40,” ujarnya lagi yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Sekijang.

Leave a Reply