MANTAP VII Dedahkan Peserta Tugas Sebenar Ahli Parlimen – Razali

MANTAP VII Dedahkan Peserta Tugas Sebenar Ahli Parlimen – Razali

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Program Internship BN Mahasiswa Turun Parlimen (MANTAP) memberi peluang dan ruang kepada golongan mahasiswa untuk memahami dan menghayati tugas dan tanggungjawab sebenar seorang Ahli Parlimen, ujar Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

“Mahasiswa yang terpilih akan didedahkan dengan pelbagai aktiviti mentor mereka, termasuk di kawasan Parlimen masing-masing yang mana mereka akan berpeluang didedahkan kepada pengalaman bertugas bersama Ahli Parlimen bagi memberi gambaran sebenar kerja sebagai wakil rakyat.”

Katanya, program yang dianjurkan oleh BNBBC ini telah memasuki edisi ketujuh dan tahun ini, program ini telah bermula 16 Oktober lalu sehingga 31 November depan.

“Matlamat program ini ialah untuk menjadikan golongan mahasiswa sebagai pelapis kepimpinan akan datang, di samping menggalas tuntutan masyarakat untuk meremajakan kepimpinan dalam BN.

Jelasnya, program ini telah bermula pada tahun 2010 dengan tahun ini sebanyak 1,368 permohonan diterima namun hanya 150 mahasiswa terpilih bagi saringan kedua dalam kursus Pemantapan MANTAP VII sebelum 120 pelajar sahaja diserapkan bagi Program Internship MANTAP VII.

“Sepanjang tempoh intership ini, peserta akan mengikuti pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri dan sesi perbahasan Bajet 2018 oleh Ahli Parlimen hingga proses pengundian peringkat jawatankuasa,” ujarnya yang juga Pengerusi Program Internship MANTAP

Selain itu, tambahnya yang juga Ahli Parlimen Muar, peserta juga akan mengikuti program kemasyarakatan, bengkel debat dan pidato, kursus tatahias, pengucapan awam, lawatan kerja ke Kedutaan Amerika Syarikat selain sesi khas bersama menteri di kementerian terpilih.

“Program ini juga diharap dapat memperkukuhkan rangkaian pemimpin muda yang mendorong perjuangan kebangsaan dan dapat memberi latihan persediaan untuk menghadapi dunia kerjaya yang sebenar,” ujarnya dalam kenyataan kepada UMNO-Online.

Leave a Reply