Jentera BN Siap Sedia Hadapi PRU-14, Tekad Terus Lakar Kemenangan

Jentera BN Siap Sedia Hadapi PRU-14, Tekad Terus Lakar Kemenangan

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Pemukiman Jentera Barisan Nasional (BN) yang diadakan hari ini secara tidak langsung menyemarakkan semangat jentera parti di semua peringkat untuk terus berusaha keras bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Rata-rata pemimpin komponen yang ditemui menyatakan keyakinan bahawa BN akan terus melakar kemenangan dengan jentera parti telah bersedia untuk PRU-14 dan hanya menanti semboyan untuk disembunyikan kerana di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga merupakan Pengerusi BN, elemen penyatuan dan kesepakatan antara semua parti komponen dilihat lebih utuh dan jitu.

Presiden myPPP Tan Sri Dr. M Kayveas berkata, persediaan untuk menghadapi PRU-14 kali ini dilihat lebih mantap dan padat malah untuk myPPP sendiri, persediaan juga lebih hebat daripada dulu.

“Saya melihat kali ini BN lebih bersedia. myPPP sendiri lebih tersusun dengan bantuan JR Plus.

“Kewujudan JR Plus banyak memberi kesan yang baik di peringkat bawah dibantu oleh Pemuda dan Puteri. Kami sendiri telah banyak belajar daripada JR Plus di mana peti-peti undi lebih bersedia,” katanya kepada UMNO-Online.

Bagi Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow, beliau melihat banyak persiapan telah dilaksana dengan lancar sejak pemukiman yang diadakan di pusat latihan UMNO di Kampung Janda Baik, sebelum ini.

“Kerja-kerja termasuk untuk manifesto telah siap cuma sekarang kita menunggu beberapa lagi percaturan dengan pucuk pimpinan pusat sebelum melaksanakan perkara-perkara yang telah disediakan untuk PRU-14.

“Saya melihat jentera di semua tempat 80 peratus bersiap sedia malah ahli parti sama ada UMNO atau komponen telah tahu tanggungjawab masing-masing.

“Ini berlainan dari dulu… dulu di saat ini masih tidak tahu kedudukan mereka tetapi kini semua telah maklum. Kita cuma menunggu arahan dan gabungkan semua gerak kerja antara parti-parti kompenan untuk menang pada PRU akan datang,” terangnya.

Sementara itu Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Nancy Shukri menjelaskan, di Sarawak persiapan telah lama bermula dan bukan untuk PRU sahaja.

“Kalau hari ini pilihan raya, semalam kita sudah bersedia. Dalam BN di Sarawak, kita tidak mengira bila pilihan raya sebab kita sentiasa bergerak. Saya amat berterima kasih kepada kerajaan kerana sentiasa memberi sokongan kepada pemimpin Sarawak untuk bantu rakyat di negeri ini.

“Bukan hanya peruntukan dari segi aktiviti diberikan tetapi juga insfratuktur. Jadi, kalau rakyat menilai kesungguhan BN dalam bantu rakyat, mereka akan nampak usaha kerajaan. Oleh itu, adalah rugi kalau rakyat tidak meneruskan untuk undi BN kerana BN begitu ikhlas dalam membantu rakyat.

“Kita tidak membina Malaysia ini pada satu malam. Setiap negeri yang maju termasuk negeri pemgangkang maju kerana hasil usaha BN… bukan maju di bawah pembangkang. Contoh Selangor dan Penang, mereka baru datang berapa penggal sahaja tetapi yang telah mewujudkan kekayaan dalam negeri itu adalah BN. Jadi saya harap rakyat tidak tersalah pilih lagi,” terang Nancy.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Datuk Samsudin Yahya pula menjelaskan, di Sabah persediaan telah dijalankan sejak awal lagi.

“Di Sabah khususnya di Batu Sapi, kita telah bersiap sedia bukan sahaja dari segi jentera tetapi kita telah mengenal pasti setiap pengundi. Di Sabah, kita sentiasa turun padang bukan sahaja bila dekat PRU tetapi telah bersedia bila-bila sahaja jika Parlimen di bubarkan, apatah lagi sebagai wakil rakyat maka khidmat kepada rakyat sentiasa dibuat,” katanya.

Permukiman Jentera BN PRU-14 telah diadakan di Dewan Tun Razak 1 PWTC, hari ini dengan dihadiri oleh jentera-jentera dari parti-parti kompenan BN – UMNOOnline

Leave a Reply