Jangan ghairah dedah kegiatan kongsi gelap untuk ‘mileage’ politik, pesan Jazlan

Jangan ghairah dedah kegiatan kongsi gelap untuk ‘mileage’ politik, pesan Jazlan

Pulai, 22 Okt – Mana-mana pertubuhan dalam negara diminta untuk tidak terlampau ghairah dedah kegiatan kongsi gelap untuk mendapatkan “mileage” politik, pesan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Nur Jazlan berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai bukti tentang kongsi gelap seharusnya berkongsikan maklumat tersebut dengan polis untuk diambil tindakan kerana dikhuatiri akan mengancam keselamatan mereka, lapor Sinar Harian Online.

 

“Perkara ini disiasat dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa, jadi NGO-NGO ini jangan terlalu ghairah untuk mendapatkan ‘mileage’ politik semata-mata dengan membuat apa-apa tuduhan, nanti keselamatan mereka sendiri terancam ini kerana kongsi gelap ini mempunyai jaringan dan pengaruh yang begitu besar dan akan mengancam nyawa dan sebagainya,” beliau dipetik sebagai berkata.

Beliau menambah bahawa pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telahpun mengambil tindakan berkenaan isu kegiatan kongsi gelap namun mengakui ia sukar untuk ditumpaskan sepenuhnya, seperti yang berlaku di negara-negara lain juga.

 

“Kalau tuduhan itu sahih sekalipun saya menasihatkan golongan NGO ini berhati-hati kerana keselamatan diri mereka boleh terancam kalau mereka mendedahkan identiti, biar pihak berkuasa dibekalkan dengan maklumat dan tak payah war-warkan secara umum.

“Kita ada buat tangkapan melalui POCA (Akta Pencegahan Jenayah 1959) untuk bantu polis membanteras kumpulan jenayah ini, namun masalahnya apa-apa kegiatan jenayah ini perlu dibawa ke mahkamah. Adakalanya sampai di mahkamah, saksi hilang dan tidak mahu tampil serta bekerjasama, akhirnya kes itu tidak dijatuhi hukuman meskipun ada bukti-bukti yang sah,” katanya lagi.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan minggu lepas mendedahkan kewujudan sembilan ketua kumpulam kongsi gelap yang digelar ‘dra­gon’, yang didakwa mem­punyai “kuasa” dalam agensi pe­nguat kuasa di negara ini dan telah wujud sejak bertahun lamanya.

Leave a Reply