Sebelum Mimpi Jadi PM, Kit Siang Perlu Belajar Tanggungjawab Terhadap Pengundi Gelang Patah

Sebelum Mimpi Jadi PM, Kit Siang Perlu Belajar Tanggungjawab Terhadap Pengundi Gelang Patah

GELANG PATAH, 19 Okt – Naib Ketua UMNO Bahagian Gelang Patah, Datuk Radin Seri Kartini Abdullah hari ini secara sinis menyambut baik saranan pemimpin Dap, Datuk Zaid Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Agungnya, Prof. Dr. P. Ramasamy yang melihat bahawa Lim Kit Siang merupakan satu-satunya pemimpin yang layak menjadi Perdana Menteri.

Tambahnya, saranan ini pasti akan membawa pembaharuan di Gelang Patah, itupun jika pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti, Kit Siang tidak lari atau berpindah-randah ke parlimen lain sebagaimana yang dilakukannya selama ini, bak kata pepatah Melayu, ‘habis madu, sepah dibuang’.

“Jadi, jika dia lari ke ke kawasan lain, rugi lagilah masyarakat dan pengundi Gelang Patah. Sudahlah selama hampir empat tahun ini, kami di sini sudah kerugian kerana mendapat seorang Ahli Parlimen yang sekadar berjawatan wakil rakyat, namun batang hidungnya dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat, tidak dirasai sama sekali oleh warga Gelang Patah.

“Jadi, wajarlah jika saya meminta Datuk Zaid Ibrahim dan Prof. Dr. P. Ramasamy agar menasihatkan pula Lim Kit Siang untuk tidak mensia-siakan penghujung kariernya sebagai Ahli Parlimen agar melaksanakan tanggungjawabnya kepada rakyat dan pengundinya, bukan menghilangkan diri selepas memang pada PRU-13 yang lalu.

“Janganlah sekadar nak menang kerusi pilihan raya, apabila dah menang maka segala permasalahan pengundi dan penyokongnya dibiarkan sahaja, sebaliknya pemimpin (Barisan Nasional) BN dan UMNO yang diletakkan tanggungjawab tersebut. Jika nasib pengundi Gelang Patah pun terabai selepas dia menang kerusi Gelang Patah dulu, apatah lagi nasib rakyat Malaysia kalau dia jadi Perdana Menteri,” ujarnya sinis mengulas saranan dari beberapa pemimpin Dap yang menyifatkan Kit Siang paling layak menjadi Perdana Menteri.

Dalam masa yang sama, Radin Seri Kartini turut menyifatkan saranan dari Zaid dan Dr. Ramasamy hanya sekadar signal atau seloroh mereka agar Kit Siang segera berhenti dari karier politiknya memandangkan sudah terlampau lama mencengkam pentadbiran dalam parti Dap.

“Jadi mereka menciptakan mimpi-mimpi indah di siang hari buat Kit Siang untuk menjadi Perdana Menteri pertama dari pakatan pembangkang, ataupun mereka sebenarnya sedar dengan hakikat bahawa pakatan pembangkang tidak mungkin akan dapat menguasai kerajaan persekutuan memandangkan track record terbaik kerajaan BN yang sentiasa mendahulukan dan mementingkan kebajikan dan kehendak rakyat,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Zaid Ibrahim dan Dr. Ramasamy senada menyuarakan kewajaran agar Penasihat Dap, Lim Kit Siang menjadi Perdana Menteri, menerajui kepemimpinan negara jika Pakatan Harapan menang pada pilihan raya umum akan datang.

Kenyataan kedua-dua pemimpin itu mencerminkan hasrat Dap yang sebenarnya mahu Kit Siang menjadi Perdana Menteri.

Bagi mereka, Kit Siang merupakan pemimpin yang paling layak untuk dipertimbangkan memegang jawatan Perdana Menteri kerana berdasarkan sejarah dan pengalamannya dalam politik negara. – MediaUMNO

Leave a Reply