Tak Mampu Balik Kampung

Tak Mampu Balik Kampung

KLUANG – Kesempitan hidup yang dialami M Puspanathan, 40, di Taman Orket di sini, menyebabkan dia sekeluarga tidak dapat pulang ke kampung halaman di Selangor untuk menyambut Deepavali.

Menurut bapa kepada empat anak itu, dia dan isteri, Y Pugenaswary, 24, bukan tidak mahu pulang ke kampung tetapi berhadapan dengan kekangan kewangan.

Dia yang bekerja sebagai buruh di kilang kelapa sawit berkata, gajinya hanya kira-kira RM1,000 sebulan dan jumlah itu tidak cukup untuk menampung keperluannya sekeluarga.

“Saya dan keluarga sambut Deepavali sederhana sahaja. Tahun ni saya raikan bersama jiran-jiran Melayu.

“Walaupun tak dapat pulang ke kampung saya akan pastikan empat anak saya yang berusia 2 hingga 7 tahun gembira sambut Deepavali di sini,” katanya ketika  ditemui di rumahnya di Taman Orket di sini,  semalam.

Bagaimanapun Puspanathan mengakui tiada apa-apa persiapan dibuat untuk menyambut perayaan itu.

“Kami tak beli pun baju baru. Malah kuih muih yang ada ini ihsan daripada jiran-jiran Melayu di sini.

 “Kami bangga ada jiran seperti mereka kerana sentiasa prihatin terhadap nasib kami walaupun berlainan bangsa,” katanya.

Terdahulu Puspanathan dan keluarga menerima kunjungan Adun Mahkota, Datuk Md Jais Sarday yang turut menyampaikan bantuan barangan dapur dan keperluan lain bagi menyambut Deepavali.

“Saya tak tahu pun mereka nak datang, tiba-tiba dapat sumbangan. Memang gembira sangat.  Terima kasih kepada kepimpinan setempat yang sentiasa prihatin terhadap golongan kurang berkemampuan seperti saya,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Yayasan Perbandaran Kluang (YPK), Hazimah Hassan berkata, seramai 150 keluarga kurang berkemampuan menerima sumbangan berkenaan.

“Diharapkan sumbangan ini dapat meringankan beban setiap keluarga penerima membuat persiapan termasuk menyediakan juadah untuk tetamu nanti.

“Sumbangan seperti ini bukanlah kali pertama dilaksanakan namun telah dilakukan sejak YPK ditubuhkan pada 2015 lagi, malah ia tidak terhad kepada perayaan kaum India sahaja sebaliknya meliputi sambutan Tahun Baharu Cina dan hari raya,” katanya. -Sinar Harian

Leave a Reply