Awas Panggilan Palsu ‘IPD’ – Nur Jazlan

Awas Panggilan Palsu ‘IPD’ – Nur Jazlan

JOHOR BAHRU 18 Okt. – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan panggilan palsu kononnya dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) yang mengarahkan membayar sejumlah wang didakwa bagi menyelesaikan saman atau kes lain.

Timbalan Menterinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, itu merupakan taktik pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama pasukan keselamatan untuk menipu mangsanya.

“Periksa (kesahihan) dengan pihak berkenaan mengenai kebenaran panggilan yang diterima,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Mesra Rakyat di Padang Jalan Seimbang 17, Taman Perling di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KDN memandang serius sindiket menjalankan kegiatan pemalsuan dokumen yang dilihat berleluasa di negara ini.

Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Pulai, kegiatan sindiket tersebut akan terus dipantau pihak berkuasa menerusi risikan daripada maklumat yang diterima.

“Itu (pemalsuan dokumen) satu perkara yang sudah berlaku sebelum ini, dan sentiasa akan berlaku pasal Malaysia ini merupakan tumpuan kepada pekerja asing. Semua orang nak datang ke Malaysia, sebab itu pasport Malaysia terutamanya menjadi tumpuan utama.

“Benda ini kena pantau. Pasal kita tak tahu, sekarang ini dengan adanya mesin percetakan yang canggih, boleh dibeli di kedai biasa,” katanya. -Utusan

Leave a Reply