Program CTU KKM Mampu Neutralkan Pemikiran Anak Muda – Zulkurnain

Program CTU KKM Mampu Neutralkan Pemikiran Anak Muda – Zulkurnain

BATU PAHAT, 15 Okt — Program Menghubung Menyatu (CTU) dilaksanakan kerajaan pusat dilihat dapat meneutralkan pemikiran anak-anak muda di pedalaman yang mungkin terpengaruh dengan persepsi dan sentimen negatif dilontarkan pihak berkepentingan, kata Anggota Dewan Undangan Negeri Sri Medan Datuk Zulkurnain Kamisan.

Beliau berkata ini berikutan program itu memberi maklumat yang jelas mengenai isu-isu semasa kepada penduduk yang tidak dihubungkan dengan capaian internet, radio dan televisyen.

Mengambil contoh di kawasan DUN Sri Medan sendiri, katanya terdapat beberapa kawasan yang masih tidak mempunyai akses terhadap kemudahan tersebut sehingga memudahkan pihak berkepentingan menyebar dan memainkan persepsi negatif tentang kerajaan dan sentimen perkauman.

“Oleh itu, saya menyifatkan ia (CTU) tiba pada masa yang tepat bagi meneutralkan pemikiran rakyat terutama anak-anak muda (yang terpengaruh) kerana saya tidak mahu orang-orang di DUN Sri Medan ini cepat terpengaruh dengan maklumat yang tidak pasti,” katanya.

Zulkurnain yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor berkata demikian ketika merasmikan Program CTU di Kampung Kassim Jaya di sini, hari ini.

Melalui program inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan mendapat kerjasama pelbagai pihak itu, seramai 60 penduduk daripada tiga buah kampung menerima barangan keperluan antaranya 10 pakej set dekoder Astro NJOI dan televisyen LED Panasonic.

Menurut Setiausaha Bahagian Infrastruktur dan Aplikasi KKMM, Daud Ismail, penyerahan barangan kepada penduduk dari Kampung Kassim Jaya, Kampung Parit Mohamad dan Kampung Parit Nibong Darat itu dilaksanakan selama dua hari bermula semalam.

“Ini bagi mencapai matlamat sebenar program CTU iaitu memberi capaian internet, televisyen dan radio kepada sejuta rakyat yang terdiri daripada 216,000 isi rumah yang tinggal di 48 kawasan pedalaman terpilih seluruh negara, menjelang 2020,” katanya.

Katanya pihak kementerian dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan komunikasi turut membina dua menara komunikasi masing-masing di Kampung Parit Mohamad dan Kampung Kassim Jaya, yang beroperasi sejak April lepas,  bagi memberi manfaat kepada kira-kira 2,500 penduduk sekitarnya.

Sementara itu, seorang daripada penerima dekoder Astro NJOI, Misnah Som, 60,  berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa prihatin akan nasib penduduk kurang kemampuan sepertinya.

“Gembira, menangis pun ada kerana di rumah keluarga langsung tiada televisyen dan radio,” katanya.

Leave a Reply