TPM Lancar Lima Inisiatif Kerajaan Johor

TPM Lancar Lima Inisiatif Kerajaan Johor

ISKANDAR PUTERI, 14 Okt — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini melancarkan lima inisiatif penting kerajaan negeri Johor bagi mensejahterakan rakyat.

Ia dilancarkan pada majlis penutupan Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di Dataran Mahkota, Kota Iskandar.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi ucapannya berkata dua inisiatif pertama ialah penyerahan sekolah agama kepada kerajaan Johor oleh Kumpulan Prasarana Rakya Johor (KPRJ) yang merupakan syarikat berkaitan negeri Johor (GLC) dan penyerahan Sekolah Agama Felda kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata di bawah inisiatif itu, KPRJ akan menyerahkan sebanyak 95 buah Sekolah Agama Kerajaaan Johor (SAKJ) di bawah Fasa 1 hingga 4 kepada kerajaan negeri.

Katanya dengan kos keseluruhan berjumlah RM240 juta, kesemua 95 SAKJ tersebut telah disiapkan pembinaannya oleh KPRJ pada 30 Jun yang lalu dan kini sedia untuk digunakan sepenuhnya.

Inisiatif tersebut turut memperlihatkan lantikan KPRJ untuk membina 30 buah lagi sekolah agama dalam Fasa 5 yang melibatkan 30 buah SAKJ dengan kos sebanyak RM256 juta dan akan disiapkan dalam tempoh tiga tahun.

Mohamed Khaled berkata bagi penyerahan Sekolah Agama FELDA kepada kerajaan negeri, ia melibatkan pengambilalihan sebanyak 65 sekolah agama di pelbagai tanah Rancangan FELDA di seluruh Johor.

Inisiatif ketiga pula ialah berkaitan aspek kesihatan dan perkhidmatan perubatan iaitu pelancaran teknologi ‘IBM Watson for Oncology’ oleh KPJ Healthcare Berhad.

Sebagai permulaan, teknologi perkomputeran kognitif yang terkini dan moden akan digunakan di lima pusat perubatan KPJ di seluruh negara.

 

Kemudahan itu berupaya untuk menganalisis maklumat klinikal pesakit kanser dalam tempoh hanya satu minit, kata Mohamed Khaled.

Pengenalan teknologi berkenaan akan menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di Asia yang memperkenalkannya sekali gus merupakan satu kejayaan dalam bidang perubatan di negara ini.

Mohamed Khaled berkata inisiatif keempat pula adalah menandatangani memorandum persefahaman  (MoU) antara QSR Brands Holding (M) Berhad dan Telekom Malaysia Berhad bagi menyediakan perkhidmatan Wifi Percuma dalam semua outlet KFC.

Johor Corporation menerusi syarikat dalam Kumpulannya, QSR Brands (M) Holdings Berhad bekerjasama dengan Telekom Malaysia Berhad bagi memberikan perkhidmatan Internet percuma kepada pelanggan di 1,060 outlet KFC dan restoran Pizza Hut di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 140 outlet KFC dan Restoran Pizza Hut di Johor akan mendapat manfaat daripada kerjasama ini, katanya.

Inisiatif kelima adalah pelancaran Digital Halal Martz dengan bagi menyahut seruan kerajaan negeri dalam mentransformasikan Johor ke arah ekonomi digital, Perbadanan Islam Johor Holdings (PIJH) mengambil langkah proaktif membangunkan sebuah Portal Halal ‘Digital Halal Martz’.

Melalui portal itu, produk-produk halal buatan usahawan kecil dan sederhana di negeri ini akan dapat ditawarkan melalui platform e-dagang dan bagi memantapkan keberkesanan inisiatif tersebut, para usahawan yang menyertai portal halal itu akan turut diberikan laman sesawang sendiri secara percuma, khidmat nasihat dan kaunseling dari segi reka bentuk pembungkusan produk, penjenamaan dan pengurusan pengeluaran produk serta kewangan. -Bernama

Leave a Reply