Puteri UMNO Tekad Mendayakan Pendidikan Menerusi Wacana Pendidikan Malaysia

Puteri UMNO Tekad Mendayakan Pendidikan Menerusi Wacana Pendidikan Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia hari ini menganjurkan Wacana Pendidikan Malaysia bertujuan untuk mendayakan pendidikan di semua peringkat khususnya di bahagian-bahagian UMNO seluruh negara.

Exconya, Datin Azura Mohd Afandi berkata, program ini adalah anjuran Yayasan Minda dan Biro Pendidikan UMNO Malaysia dengan kerjasama Biro Pendidikan Puteri UMNO Malaysia.

“Selain Pengerusi Biro Pendidikan Puteri UMNO seluruh Malaysia, kita juga menjemput pihak-pihak yang berkepentingan dalam pendidikan seperti dari Institut Perguruan Guru (IPG), NGO berteraskan pendidikan serta dari Sahabat BN kita, KIMMA.”

Jelasnya, menerusi wacana ini ada empat slot untuk dikongsikan iaitu slot ‘Ke Arah Pembelajaran Abad ke-21 – Strategi Dan Cabaran’ yang dibentangkan Tuan Haji Kamel Abdul Muin, slot kedua dibentangkan Dr Wan Sabri Wan Hussein, Dekan Sekolah Pengurusan Universiti AEU yang bertajuk ‘Pengikhtirafan Kepimpinan’.

“Pada sebelah petang, kita akan bersama Datin Ira Ghani dari Aura Seni yang akan membentangkan ‘Aura Pendidik/Pemimpin’ serta amanat dari YB Senator Tan Sri Professor Dr Ibrahim Abu Shah selaku Pengerusi Biro Pendidikan UMNO dan Pengerusi Yayasan Minda,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambahnya, dalam setiap sesi pembentangan ini, akan diadakan soal jawab untuk memberikan peluang kepada para peserta mendapat penerangan dan pandangan kepada para panel selain boleh bertukar buah fikiran dalam soal memperkasakan agenda pendidikan.

“Sudah tentunya peserta yang datang hari ini adalah mereka yang mementingkan pendidikan, semestinya objektif utama program ini adalah untuk memberi dan menambah input pendidikan yang sangat penting kerana soal pendidikan ini adalah sumber kekuatan kepada sesebuah negara.

“Saya harap ia boleh memberi manfaat kepada semua,” tambahnya yang juga Pengerusi Biro Pendidikan Puteri UMNO Malaysia.

Dalam masa yang sama, Azura juga dijemput untuk bersama dalam kluster pendidikan di bawah kendalikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia untuk membincangkan isu-isu pendidikan khususnya suara wanita muda untuk di bawa dalam usul pendidikan di Perhimpunan Agung UMNO pada bulan Disember ini. –UMNOOnline

Leave a Reply