Khaled: “Sudah sampai masa M40 dibantu”

Khaled: “Sudah sampai masa M40 dibantu”

Johor Bahru, 14 Okt – Menteri Besar Johor Mohamed Khaled Nordin menyarankan Putrajaya untuk turut memberi perhatian kepada golongan berpendapatan pertengahan (M40) ketika membentangkan Bajet 2018.

Menurut Mohamed Khaled, selain golongan berpendapatan rendah (B40), Putrajaya juga seharusnya melihat bagaimana ia mampu membantu M40 berdepan dengan cabaran semasa.

Justeru, beliau berharap kedua-dua golongan ini akan mendapat perhatian dalam pembentangan bajet nanti.

“Kita berharap kerajaan akan lihat kepada soal bagaimana untuk mengatasi kos kehidupan rakyat dan pada masa yang sama kita boleh beri perhatian kepada M40.

“Kita dapati dalam negara kita golongan B40 menerima pelbagai program. Tetapi sudah sampai masanya untuk kita lihat bagaimana M40 juga dapat kita bantu,” Mohamed Khaled dipetik sebagai berkata dalam Utusan Online.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan membentangkan bajet 2018 pada 27 Oktober ini di Dewan Rakyat.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib dijangka bakal berdepan tentangan sengit dari Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya ke-14 (PRU14) yang diramalkan akan diadakan pada suku pertama tahun depan.

Leave a Reply