Johor Mahu Rapatkan Lagi Hubungan Dengan Kerajaan Pusat

Johor Mahu Rapatkan Lagi Hubungan Dengan Kerajaan Pusat

ISKANDAR PUTERI, 14 Okt – Kerajaan negeri bertekad dan berazam untuk terus  mempertingkatkan hubungan baik dengan kerajaan persekutuan bagi membantu Johor muncul sebagai sebuah kuasa ekonomi yang baharu.

Menteri Besar, Dato’  Mohamed Khaled Nordin berkata usaha ke arah itu tidak mungkin akan tercapai tanpa kerjasama erat dengan kerajaan persekutuan.

“Oleh itu, saya dan pentadbiran kerajaan negeri tekad berazam untuk meneruskan dengan lebih giat lagi hubungan baik dengan kerajaan persekutuan,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan program Ekspo Johor Berkemajuan 2017 yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Beliau berkata dalam membangunkan Johor, kerajaan sentiasa mahu menekankan beberapa aspek antaranya mempunyai perancangan rapi dalam merangka pelan tindakan.

Selain itu, ia juga ingin memastikan bahawa kemajuan yang dikecapi oleh Johor bukan hanya bersifatkan fizikal, malahan dapat membantu rakyat mempunyai pemikiran maju, katanya

Pemikiran yang maju itu, katanya, bermakna masyarakat harus sentiasa berusaha memajukan dirinya secara berterusan, maju dari segi pendidikan, sikap dan akal budi.

“Kita di Johor tidak mahukan pembangunan tanpa nilai dan jati diri. Kita tidak mahu pertumbuhan ekonomi yang berat sebelah, yang tidak inklusif tanpa memberikan kesejahteraan yang bermakna kepada kehidupan masyarakat,” katanya.

Sebaliknya, katanya, Johor bukan sahaja sekadar menjadi sebuah negeri pintar tetapi membentuk sebuah sistem kemasyarakatan yang boleh diteladani. -Bernama

Leave a Reply