Johor Harap Bajet 2018 Fokus Atasi Kos Hidup Rakyat

Johor Harap Bajet 2018 Fokus Atasi Kos Hidup Rakyat

JOHOR BAHRU, 14 Okt  — Kerajaan Johor berharap kerajaan pusat akan memberi perhatian terhadap golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40) pada pembentangan Bajet 2018.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata ia bagi memastikan golongan itu dapat menempuh cabaran kehidupan masa kini terutama kos kehidupan.

“Kita berharap kerajaan akan lihat kepada soal bagaimana hendak mengatasi kos hidup rakyat dan pada masa yang sama memberi perhatian kepada golongan M40.

“Kita dapati dalam negara kita golongan B40 menerima pelbagai program, tetapi sudah sampai masanya kita lihat bagaimana M40 itu dapat kita bantu,” katanya selepas melancarkan Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Gotong-royong MYBN peringkat Johor di Pangkalan Nelayan Tampoi Utama, di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Bajet 2018 di Parlimen pada 27 Okt ini.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata program gotong-royong berkenaan mampu menterjemahkan dasar Kelestarian Johor yang merupakan aspirasi negeri sebagai negeri maju, Islam, bersih dan persekitaran mesra alam.

Beliau berkata ini secara tidak langsung dapat mewujudkan sikap tanggungjawab dan nilai yang kukuh dalam kalangan masyarakat untuk menjaga kebersihan alam sekitar.

“Program ini akan membangunkan tanggungjawab masyarakat untuk menjaga kebersihan dan masyarakat juga akan meletakkan mutu yang tinggi terhadap tahap kebersihan.

“Ia juga antara cara kita lahirkan semangat kesukarelaan dan menjayakan pendekatan NBOS, katanya. -Bernama

Leave a Reply