Jauhar Prihatin Inisiatif Baharu Bantu Rakyat Miliki Rumah

Jauhar Prihatin Inisiatif Baharu Bantu Rakyat Miliki Rumah

KOTA ISKANDAR, 13 Okt. – Kerajaan Johor melancarkan satu lagi inisiatif baharu bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman menerusi Skim Sewa Beli Hartanah Kerajaan Johor (Rent-to-Own) di bawah program Jauhar Prihatin.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata skim itu akan menjadi alternatif kepada pembeli rumah yang tidak mampu mendapat pinjaman perumahan biasa secara komersial.

“Hari ini negeri Johor akan memperkenal dan melancarkan satu iktiar inovatif untuk pembiayaan rumah iaitu Skim Sewa Beli Hartanah Johor yang akan dikenali sebagai Jauhar Prihatin.

“Skim ini akan menjadi alternatif dan jalan pencerahan kepada pembeli rumah yang tidak mampu mendapat pinjaman perumahan biasa secara komersial,” katanya.

Beliau berkata, program yang akan dilaksanakan oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd. (KPRJ) itu akan menawarkan 5,279 unit hartanah dan komersial, yang mana 409 daripadanya yang belum dihuni akan ditawarkan menerusi fasa pertama.

Katanya, melalui Jauhar Prihatin, kaedah pembiayaan tertangguh akan digunakan yang akan menyaksikan bakal pembeli diberi peluang memasuki rumah melalui skim penyewaan hartanah terlebih dahulu selama lima tahun.

“Selepas tamat tempoh lima tahun, peserta Jauhar Prihatin ini akan memasuki pula peringkat kedua, iaitu peringkat pembelian rumah.

“Dalam peringkat kedua ini, peserta yang pada awalnya adalah penyewa kini akan bertukar menjadi pembeli dan berpeluang memohon pinjaman perumahan seperti biasa daripada institusi kewangan, dengan rekod dan merit yang lebih baik,” katanya kepada sidang media selepas melancarkan Skim Sewa Beli Hartanah Kerajaan Johor (Rent-to-Own) di bawah program Jauhar Prihatin di Dataran Mahkota, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Md. Jais Sarday dan Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Abdul Razak Mohd Yusoff.

Menariknya, Mohamed Khaled berkata, harga hartanah yang ditawarkan semasa menandatangani perjanjian sewa beli adalah sama dengan harga yang ditetapkan semasa perjanjian jual beli lima tahun kemudiannya.

Katanya, harga berkenaan akan ditolak dengan hasil tabungan bulanan yang dibayar sebagai sebahagian daripada sewa selama tempoh berkenaan.

“Hasil simpanan pembeli ini akan ditukarkan sebagai deposit pembelian sekali gus melepaskan beban untuk mengumpulkan bayaran pendahuluan, yang rata-ratanya menjadi penyebab kegagalan dalam proses pembelian rumah,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, Kerajaan Johor memperuntukkan dana berjumlah RM20 juta melalui bajet tahun lalu dan jumlah itu akan ditingkatkan lagi tahun depan.

Katanya, antara lokasi yang terlibat ialah Larkin, Bandar Baru Uda, Tampoi, Taman Molek, Desa Paya Mengkuang dan Gelang Patah.

Mereka yang mahu membuat permohonan perlu hadir ke pejabat KPRJ di Danga Bay.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut merasmikan penyerahan kunci Rumah Mampu Milik Johor Taman Sri Danga Apartment serta penyerahan baucar RM1,000 dan menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman TNB Energy Services Sdn Bhd (TNBES) dan KPRJ. –JAUHAR

Leave a Reply