Kerajaan Negeri Lancar Tiga Eco-inisiatif Dilaksana PBT

Kerajaan Negeri Lancar Tiga Eco-inisiatif Dilaksana PBT

ISKANDAR PUTERI, 12 Okt — Kerajaan Johor hari ini melancarkan tiga inisiatif utama untuk dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mencapai matlamat Gagasan Johor Berkemajuan sekali gus memastikan sistem perkhidmatan awam sentiasa produktif, cekap, amanah serta telus.

Ketiga-tiga inisiatif terbabit adalah Sistem Parking Digital, Program Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca (SAS) dan Program Zon Bersih.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Md Jais Sarday berkata Sistem Parking Digital yang dilaksanakan beberapa PBT di negeri ini merupakan aspek inovasi yang mampu merealisasikan impian menterjemahkan Gagasan Johor Berkemajuan dengan lebih pantas, kukuh dan mampan.

“Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menawarkan sistem pengurusan tempat letak kereta baharu yang berkonsepkan sistem hibrid kupon dan aplikasi MBJB Spot yang boleh dimuat turun menerusi telefon pintar.

“Pengguna mempunyai pilihan sama ada menggunakan kupon atau aplikasi MBJB Spot mengikut keselesaan di tempat letak kereta dalam kawasan MBJB,” katanya berucap melancarkan Eco-Inisiatif PBT bersempena Ekspo Johor Berkemajuan di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Md Jais berkata Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) pula menggunakan teknologi SMSParkir yang memberi manfaat hampir sejuta orang awam yang tinggal di kawasan Johor Bahru Tengah seperti Impian Emas, Perling, Bukit Indah, Nusajaya, Skudai dan Gelang Patah.

Sistem Parking Secara Digital ini juga boleh diperluaskan ke kawasan PBT di Wilayah Iskandar seterusnya ke PBT seluruh Johor, katanya.

Md Jais berkata bagi inisiatif SAS pula, kerajaan Johor menyahut baik saranan kerajaan persekutuan yang mewajibkan pengasingan sisa pepejal di rumah mulai 1 Sept 2015 dalam usaha meningkatkan kadar kitar semula.

“Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) membeli minyak masak terpakai daripada pekedai dan penduduk dengan harga RM1 bagi setiap sekilogram.

“Bagi penghasilan biodiesel, kerjasama dengan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Tenaga, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dijalankan bagi memastikan minyak yang dikutip itu hanya dijadikan biodiesel,” katanya.

Beliau berkata penghasilan biodiesel dapat mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar akibat daripada pembuangan minyak masak terutamanya dalam kalangan pemilik restoran dan penjaja.

“Sebanyak 4,985 kilogram minyak masak berjaya dikutip tahun lepas manakala 3,600 kilogram minyak berjaya dikutip sejak Januari hingga September tahun ini.

“Sehubungan itu, adalah amat wajar untuk program pengasingan sisa pepejal di punca ini dijadikan satu mekanisme yang boleh menyumbang ke arah Johor Bersih dan Lestari sebagaimana diumumkan pada 2015,” katanya.

Mengenai inisiatif Zon Bersih pula, Md Jais berkata pihaknya menyasarkan supaya setiap PBT melaksanakan sekurang-kurangnya satu zon bersih di kawasan PBT masing-masing.

Beliau berkata pelaksanaan zon bersih di setiap PBT dilaksanakan sepanjang masa secara berperingkat-peringkat sehingga meliputi semua zon di kawasan PBT seterusnya menjadikan Johor sebagai sebuah negeri yang mempunyai tahap kebersihan lestari.

“Peranan PBT tidak hanya menyediakan tandas awam semata-mata, bukan hanya menjaga pembersihan sampah semata-mata, bukan hanya menyediakan kemudahan bas dan pondok bas semata-mata.

”Ia jauh lebih penting daripada itu. Menjadi cabaran kepada PBT untuk memastikan kawasan dalam pentadbiran mereka dikawal selia dengan rapi, konsisten dalam menyediakan prasarana awam mencukupi dan kekal lestari sepanjang masa,” katanya. -Bernama

Leave a Reply