BiKUM Akan Bantu Bawa Pulang Jenazah Mangsa ‘Keldai Dadah’ Dari Peru

BiKUM Akan Bantu Bawa Pulang Jenazah Mangsa ‘Keldai Dadah’ Dari Peru

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BiKUM), akan membantu mengurus dan memudahkan urusan pengkebumian jenazah Allahyarhamah Cik Syzlin Hataman, 43, yang berasal dari Johor, iaitu mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang meninggal dunia di Peru jam 6.50 petang waktu Peru pada 7 Oktober 2017, (Jam 7.50 pagi waktu Malaysia) akibat komplikasi beberapa penyakit, termasuk asma dan kencing manis.

Pengerusinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, bagaimanapun keputusan sama ada membawanya pulang untuk dikebumikan di Malaysia atau di Peru masih belum dimuktamadkan dan ia mengambil kira beberapa perkara termasuk hasil perbincangan dengan waris keluarga Allahyarhamah.

“Semua urusan berkaitan akan dilakukan oleh BiKUM dengan kerjasama Bahagian Kaunselor Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dan pastinya Kedutaan Malaysia di Peru.”

Jelasnya, buat masa ini, segala urusan dan perkara berkaitan pengurusan jenazah sedang diusahakan dan BiKUM akan mendapatkan kerjasama Wisma Putra melalui Kedutaan Malaysia di sana.

“Pihak BiKUM akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa selepas ini apabila kita telah mendapat kelulusan selanjutnya,” ujarnya dalam sidang media, hari ini.

Katanya, Allahyarhamah sebenarnya adalah antara beberapa individu yang dalam proses untuk dibawa balik ke Malaysia selepas terkandas di Peru akibat ditahan pihak berkuasa negara berkenaan kerana terlibat dengan sindiket keldai dadah.

“BiKUM ketika ini sedang berusaha membawa mereka pulang, dan kita sedang berurusan bersama Wisma Putra serta kedutaan Malaysia di Peru berkaitan perkara ini, namun prosesnya mengambil masa sedikit kerana untuk proses membawa jenazah pulang agak rumit dan mengambil masa di sebabkan mereka merupakan bekas banduan.

“Sebelum ini, ada di antara mereka tidak boleh di bawa pulang ke Malaysia kerana menjalani tempoh hukuman, kini mereka telah pun selesai menjalani hukuman maka proses membawa mereka pulang sedang dilakukan.

“Mereka ini dikelaskan sebagai bekas banduan maka mereka perlu melalui beberapa proses tertentu dan kita sedang melakukannya dengan kerjasama Wisma Putra dan dijangka prosesnya mengambil masa sebulan hingga dua bulan lagi bergantung kepada prosedur Kerajaan Peru.

“Insya-Allah, kebenaran untuk membawa mereka pulang akan diperolehi selewat-lewatnya hujung tahun ini,” ujarnya yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Beliau turut memaklumkan akan membawa pulang Puan Noor Azimah Sapie (37 tahun) dan anaknya Qistina Maisara Alarcon Sapie yang terkandas di Peru dan memerlukan pelepasan khas untuk kembali ke Malaysia melalui Kerajaan Peru.

Selain itu, BiKUM juga akan membawa pulang Noor Suzanna Azmi (35 tahun), suaminya Garlin Lever Quispe Sanchez serta anaknya Muhammad Duler Akasyah Salas Azmi dan Garlin Junior Quispe Azmi.

“Mereka terlibat dengan sindiket keldai dadah di Peru maka BiKUM berharap, usaha ini akan dapat menyatukan semula mereka dengan keluarga yang terpisah selama ini.”

Dalam pada itu, BiKUM berharap agar kes ini menjadi pengajaran kepada rakyat Malaysia, anak-anak muda dan wanita terutamanya untuk berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang tawaran yang tidak diketahui hujung pangkal atau mudah tertarik dengan sesuatu tawaran,” tambahnya lagi.

Shyzlin disahkan meninggal dunia pada jam 6.50 petang waktu Peru semalam atau 7.50 pagi waktu Malaysia.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Nacional dos de Mayo kerana komplikasi beberapa penyakit selepas dimasukkan ke wad beberapa hari lalu.

Syzlin yang dipercayai menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa, dipenjara dan terkandas di Lima, Peru sejak lapan tahun lalu, berasal dari Johor.

Allahyarham dibebaskan daripada hukuman pada Mei lalu tetapi proses membawanya pulang tergendala berikutan menghadapi masalah dihadapi.

Leave a Reply