KPDNKK Timbang Naikkan Kadar Tuntutan Ganti Rugi Pengguna

KPDNKK Timbang Naikkan Kadar Tuntutan Ganti Rugi Pengguna

JOHOR BAHRU, 9 Okt  — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang menimbang untuk menaikkan kadar tuntutan ganti rugi pengguna terhadap pembelian barang atau perkhidmatan di mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata langkah itu dibuat bagi memastikan ia (tuntutan) sesuai dengan kadar semasa, selain mampu membantu rakyat.

Katanya, pengguna ketika ini hanya boleh menuntut ganti rugi terhadap barangan dan perkhidmatan yang dibeli berjumlah maksimum RM25,000.

“Jadi, kita sedang kaji berapakah jumlah yang sebenarnya memadai dan berpatutan kerana kita ada mahkamah di seluruh negara dan tuntutan ini pula kadang-kadang bukan-bukan.

“Justeru, kita akan mengambil pandangan daripada semua industri sebelum mengumumkannya,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Coca Cola Komuniti Usahawan via KPDNKK di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.

Menurut maklumat daripada laman web KPDNKK, tribunal itu mula dikuatkuasakan pada 15 Nov 1999 sebagai sebuah badan bebas yang mendengar dan mengadili tuntutan-tuntutan yang difailkan oleh pengguna di bawah Akta Pelindungan Pengguna 1999.

Tuntutan itu antaranya membabitkan perlakuan licik penjual barangan atau perkhidmatan dalam memperdayakan pengguna mengenai sifat, kualiti dan proses pengilangan sesuatu produk sehingga mengakibatkan kerugian kepada pelanggan terbabit.

Sementara itu, menyentuh isu kononnya ada sebuah pasar raya di Kluang dekat sini mengenakan catuan minyak masak paket kepada pelanggannya, Hamzah berkata pihaknya akan menyiasat perkara itu terlebih dahulu.

“Apa pun, kita kena buat siasatan dahulu…kalau kita dapat tangkap, kita akan pastikan kita tarik balik lesennya dan tidak berikan lagi kuota minyak masak paket kepada syarikat yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Baru-baru ini, sebuah gambar yang menunjukkan notis catuan minyak masak paket melibatkan jenama tertentu sedang dilaksanakan di sebuah pasar raya yang mana setiap keluarga hanya dibenarkan membeli dua paket sahaja sehari, tular di laman sosial.

Sementara itu, mengulas mengenai program komuniti usahawan yang dilancarkannya, Hamzah berkata ia menyediakan latihan kemahiran perniagaan kepada peserta bagi membantu mereka memulakan perniagaan.

Latihan-latihan ini, tambahnya, termasuk bagaimana cara untuk menyimpan rekod harian, menguruskan pendapatan dan perbelanjaan, menguruskan aliran tunai dan kredit serta pengurusan mutu dan perkhidmatan.

Selain itu, terdapat latihan untuk melakukan pemasaran, membangunkan bajet, membuat perancangan perniagaan, menguruskan inventori dan mengembangkan perniagaan.

Program itu yang dilancarkan Cola Cola dengan kerjasama KPDNKK pada April lepas menyasarkan untuk memberi latihan kepada 20,000 wanita dan pelajar di 13 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh negara menjelang 2020.

Setakat ini, lebih 5,000 bakal usahawan telah dilatih dan UTM merupakan universiti keenam menerima latihan terbabit.

Sebelum ini, latihan sama pernah dijalankan di Universiti Malaysia Perlis, Universiti Kebangsaan Malaysia, Jabatan Pendidikan Politeknik Shah Alam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia serta Universiti Sultan Zainal Abidin dan seterusnya dijadualkan diadakan di tujuh lagi IPTA.

Leave a Reply