Johor Wujudkan Semula MKJR Bagi Kurangkan Kadar Kemalangan

Johor Wujudkan Semula MKJR Bagi Kurangkan Kadar Kemalangan

ISKANDAR PUTERI, 9 Okt — Kerajaan negeri mewujudkan semula Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Johor dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan di negeri ini, kata seorang anggota Exco negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri Johor Datuk Hasni Mohammad berkata sasaran kerajaan Johor adalah mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan generasi muda mengenai keselamatan jalan raya.

“MKJR Negeri Johor ini sebenarnya dihidupkan semula kerana ia sudah terbatal lebih 20 tahun iaitu pada 1992. Kita hidupkan semula MKJR ini untuk menjadikan peranan MKJR ini lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau  yang juga Pengerusi MKJR Johor berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Logo Kempen Keselamatan Jalan Raya Negeri Johor bersempena Ekspo Johor Berkemajuan, di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Pelancaran logo berkenaan disempurnakan Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim yang juga Penaung MKJR Negeri Johor.

Hasni berkata 15 anggota jawatankuasa dilantik menganggotai MKJR berkenaan termasuk pelumba permotoran negara, Jazeman Jaafar yang dilantik sebagai Timbalan Pengerusi II.

Jazeman dan pelakon, pelawak serta pengacara terkenal, Harith Iskander turut dilantik sebagai ikon selebriti kempen keselamatan jalan raya, katanya.

Beliau berkata mengikut rekod, sebanyak 73,116 kes kemalangan jalan raya yang membabitkan 1,135 kematian dicatatkantahun lepas, dengan penunggang dan pembonceng motosikal berumur antara 16 dan 25 tahun merupakan penyumbang tertinggi kepada kematian tersebut.

Katanya pelancaran logo kempen keselamatan jalan raya bermatlamat menarik golongan muda  supaya lebih berminat dengan isu keselamatan jalan raya serta membentuk generasi baharu yang lebih berhemah di atas jalan raya menerusi pelaksanaan kempen secara berterusan yang akan bermula tahun depan.

“Visi kempen keselamatan jalan raya untuk meletakkan Johor setara dengan negara maju bagi mencapai kadar kematian akibat kemalangan jalan raya kurang daripada dua kematian bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar bukanlah sesuatu yang baharu.

“Namun demikian, disebabkan masa dan teknologi yang berubah, adalah wajar inisiatif baharu diwujudkan bagi menangani masalah keselamatan jalan raya yang banyak dipengaruhi oleh budaya dan pengetahuan semasa,” katanya.

Sementara itu, Jazeman berkata beliau akan menggunakan segala pengalaman dan pengetahuannya dalam bidang permotoran bagi menggalas tanggungjawab dalam MKJR Negeri Johor.

“Langkah pertama, saya akan menghadiri satu persidangan di Amsterdam, Belanda di mana saya akan lihat teknologi baharu dalam membantu mempertingkatkan keselamatan jalan raya di negeri ini. Saya lihat infrastruktur Johor sudah bagus, cuma ada yang perlu ditambah baik,” katanya.

Pelumba kereta berusia 24 tahun itu berkata penekanan mengenai keselamatan jalan raya perlu ditekankan di kalangan remaja supaya mentaliti dan tabiat mereka terhadap keselamatan jalan raya dapat ditingkatkan.

Leave a Reply