15 Pasangan Pengantin Dinikahkan Serentak Pada Ekspo Johor Berkemajuan

15 Pasangan Pengantin Dinikahkan Serentak Pada Ekspo Johor Berkemajuan

ISKANDAR PUTERI, 9 Okt — Seramai 15 pasangan dinikahkan secara serentak  dalam satu majlis pernikahan perdana yang diadakan pada Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, di sini semalam.

Lebih istimewa lagi, satu daripada pasangan yang diraikan telah dinikahkan sendiri oleh Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsudin, sambil disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri  Abd Mutalip Abd Rahim dan Penasihat Majlis Agama Islam negeri Johor Datuk Noh Gadut.

Pasangan itu, Gani Aying, 48, dari Samporna, Sabah dan Hirdawati Bedol, 41, yang berasal dari Pasir Gudang melahirkan rasa syukur kerana majlis ijab kabul berlangsung dengan lancar selain tidak menyangka menjadi pilihan untuk dinikahkan oleh mufti Johor sendiri.

“Pernikahan beramai-ramai ini membantu meringankan beban saya bukan sahaja di segi kos majlis tetapi daripada segi persiapan.

“Saya dan isteri hanya perlu menyediakan beberapa perkara untuk pernikahan ini. Selebihnya disediakan oleh pihak kerajaan negeri. Saya berharap majlis seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang,”katanya ketika ditemui selepas selesai majlis pernikahan itu.

Terdahulu, Mohd Tahrir memulakan majlis dengan khutbah nikah manakala doa selamat dibacakan oleh Noh.

Ketika ditemui, Abd Mutalip berkata kesemua pasangan yang berumur antara 26 dan 50 tahun itu dinikahkan oleh 15  jurunikah daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) di hadapan saksi masing-masing.

Menurut beliau, ini adalah antara usaha kerajaan negeri dalam meringankan beban pasangan yang mahu menjalankan walimatulurus.

“Pasangan pengantin hanya membawa diri, mas kahwin dan wang sagu hati jurunikah sahaja. Kos perbelanjaan makanan tetamu, pelamin nikah, pelamin sanding, kompang dan keperluan lain ditanggung oleh kerajaan negeri.

“Kita buat majlis pernikahan perdana ini supaya orang luar melihat Islam itu mudah, dan Islam sememangnya memudahkan kita dengan melakukan perkara yang wajib,” katanya. -Bernama

Leave a Reply