‘Johor Brand’ Lonjakkan Produk Tempatan

‘Johor Brand’ Lonjakkan Produk Tempatan

KOTA ISKANDAR, 8 Okt. – Pusat Pembangunan Usahawan Johor (EDC) dan SME Corporation Malaysia hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menyediakan pelbagai program untuk melonjakkan produk usahawan di negeri ini sebagai ‘Johor Brand’.

Majlis itu disaksikan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin pada acara ikonik Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di Dataran Mahkota, di sini.

Mengulas perkara itu, Mohamed Khaled berkata, usahawan Johor perlu mengikuti pengisian program berkenaan untuk meningkatkan kedudukan produk mereka supaya ia berada di tahap yang layak dijadikan sebagai ‘Johor Brand’.

Bagaimanapun katanya, tidak semua usahawan boleh memohon untuk memasuki program itu dan produk dijenamakan sebagai Johor Brand.

“Kita tidak mahu produk ‘Johor Brand’ yang tidak bermutu dan tidak berkualiti kerana kita mahu eksport produk tersebut,” katanya pada sidang media selepas acara ikonik itu, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif EDC, Hahasrin Hashim.

Sementara itu, Hahasrin berkata, melalui kerjasama itu, SME Corporation Malaysia akan membuat penilaian terhadap produk sama ada mencapai tahap layak dijenamakan sebagai ‘Johor Brand’ atau sebaliknya.

“Jika tidak, maka kita (EDC) akan bantu bagaimana untuk sampai ke peringkat ini sebelum mereka (usahawan) boleh mengeksport,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyasarkan seramai 50 produk usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) akan dijenamakan sebagai ‘Johor Brand’ pada tahun depan, berbanding 20 produk oleh usahawan kecil ketika ini. -JAUHAR

Leave a Reply