Ekspo Johor Berkemajuan Bukti Pembangunan Berdasarkan Perancangan Rapi – Khaled

Ekspo Johor Berkemajuan Bukti Pembangunan Berdasarkan Perancangan Rapi – Khaled

ISKANDAR PUTERI, 7 Okt — Penganjuran Ekspo Johor Berkemajuan 2017 adalah platform bagi kerajaan negeri membuktikan bahawa segala agenda pembangunan dan kemajuan yang dibawa ke negeri itu adalah berdasarkan pelan dan perancangan rapi.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tiada pembangunan yang dilakukan secara mengejut, tergempar atau adhoc kerana semuanya dilaksanakan mengikut pelan serta perancangan  yang telus, teliti dan terbuka.

Katanya ekspo itu juga menjadi petunjuk bagaimana kerajaan negeri menyahut seruan dan saranan daripada pihak kerajaan persekutuan dalam merancang  pembangunan di Johor.

“Untuk makluman, inilah cara kami di Johor menerima dan menterjemahkan segala dasar dan pelan kerajaan persekutuan di peringkat negeri iaitu dengan menyusun dan memastikan segala agenda pembangunan di Johor dilakukan dengan nada yang seiring dan sehaluan dengan kerajaan persekutuan.

“Ini bagi memastikan kesatuan dan persefahaman kukuh antara kerajaan negeri dan pusat ini akan membuahkan hasil berganda kepada pembangunan masyarakat dan Johor,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian ekspo itu yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kota Iskandar di sini hari ini.

Beliau menjelaskan melalui Ekspo Johor Berkemajuan itu juga, pihaknya mahu masyarakat di Johor melihat dan menilai serta berbangga dengan segala hasil kejayaan Johor yang merupakan kerjasama kolektif pelbagai pihak, bukan hanya kerja keras kerajaan negeri semata-mata.

“Apa yang kita pamerkan selama sembilan hari ekspo ini adalah pelbagai cerita kegigihan, kerja keras, komitmen, sumbangan serta kesungguhan seluruh masyarakat Johor.

“Jadi, ia merupakan satu pentas yang terbuka. Pentas untuk kita memberitahu dan menunjukkan kepada semua orang Johor bahawa inilah hasil besar sumbangan dan keringat yang mereka curahkan kepada negeri ini,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Khaled menyatakan keyakinan bahawa keempat-empat inisiatif yang turut dilancarkan sempena ekspo itu mempunyai kepentingan dan makna besar kepada keseluruhan agenda pembangunan di Johor.

Ini kerana ia merupakan inisiatif yang bukan sekadar bermanfaat malah bersifat pro rakyat dan dilakukan demi memastikan kepentingan dan kesejahteraan sosial di negeri itu dapat dimantapkan, katanya.

Keempat-empat inisiatif itu ialah penyediaan kemudahan pengangkutan awam Bas Rapid Transit (BRT), Pelan Induk Kemahiran Johor, projek Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Dasar Kelestarian Johor. -Bernama

Leave a Reply