300 Anggota Polis Kawal Ekspo Johor Berkemajuan

JOHOR BAHRU, 7 Okt — Seramai 300 anggota polis ditugaskan mengawal keadaan sepanjang Ekspo Johor Berkemajuan di Kota Iskandar di sini yang bermula semalam hingga 14 Okt ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Noor Hashim Mohamad berkata kesemua keanggotaan adalah dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri dan cawangan trafik bagi membantu kelancaran aliran lalu lintas.

“Dua balai polis bergerak turut disediakan bagi membantu orang ramai yang memerlukan bantuan daripada polis,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Noor Hashim berkata keadaan di kawasan ekspo sehingga kini masih terkawal dan orang ramai dinasihati supaya mematuhi arahan pihak berkuasa terutamanya dalam memastikan mereka tidak meletakkan kenderaan di kawasan larangan.

Ekspo Johor Berkemajuan 2017 dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini manakala Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menutup ekspo itu pada 14 Okt.

Sebanyak 31 program ikonik diadakan sepanjang sembilan hari ekspo berlangsung seperti pameran, persembahan dan peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Tiga kluster utama turut diketengahkan pada ekspo itu iaitu kluster kerajaan negeri, Pelan Pertumbuhan Johor (PPSJ) dan sektoral.

Leave a Reply