Pembangkang Patut Cermin Diri Siapa Sebenarnya Tandus Pemimpin

Pembangkang Patut Cermin Diri Siapa Sebenarnya Tandus Pemimpin

JOHOR BAHRU, 7 Okt – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru, Syaiful Rizal Abd Ghani menasihatkan pemimpin pembangkang, khususnya Ketua Penerangan PKR Johor, Akmal Nasir untuk mencerminkan diri dan partinya terlebih dahulu sebelum menuding mengatakan UMNO ketandusan pemimpin pelapis sehingga ‘memaksa’ Tan Sri Shahrir Samad untuk kembali bertanding di Parlimen Johor Bahru.

Ujarnya, pertama sekali Akmal ini perlu nasihatkan dahulu Presidennya, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang sebelum ini pada tahun 2008 telah melepaskan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk memberikan laluan kepada suaminya, Anwar Ibrahim bertanding di kerusi tersebut selain alasan berehat untuk menjaga cucu.

“Namun, Dr Wan Azizah kembali bertanding di PRK Permatang Pauh pada tahun 2015 selepas Datuk Seri Anwar disahkan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen, juga jawatan ketua pembangkang mengikut Perkara 48 (4) Perlembagaan Persekutuan ekoran disabitkan dengan kesalahan meliwat Saiful Bukhari Azlan oleh Mahkamah Persekutuan.

“Dr Wan Azizah juga bertanding di PRK DUN Kajang berikutan agenda ‘Langkah Kajang’ setelah Lee Chin Cheh meletakkan jawatan tanpa sebab, maka adakah ini bukti bahawa PKR terlalu ramai pemimpin pelapis berbanding UMNO,” ujarnya sinis mengulas kenyataan Akmal Nasir yang mengatakan UMNO Johor ketandusan pemimpin.

Bidasnya, hakikat sebenar, pembangkanglah yang sudah ketandusan pemimpin berkualiti untuk memimpin mereka bagi mencapai kemenangan.

“Adakah Mohamad Sabu boleh dijadikan sandaran atau bukti ramainya pemimpin dalam pakatan pembangkang, sudah berapa kali Mat Sabu bertanding dalam pilihan raya tetapi ditolak oleh rakyat, begitu juga Lim Kit Siang, adakah dia boleh dijadikan contoh terbaik pembangkang yang setiap kali pilihan raya, akan lari dari kerusi yang ditandinginya malah terkini selepas menang PRU-13, di mana Kit Siang di hati pengundi Gelang Patah?.”

Dalam masa yang sama, ujarnya, pembangkang juga terpaksa mengutip satu demi satu pemimpin buangan dari UMNO, sehinggakan mereka sanggup mempergunakan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bersama-sama mereka biarpun sebelum ini menjadi mangsa kutukan dan kritikan dikalangan pemimpin pembangkang sendiri.

“Kesediaan Tan Sri Shahrir untuk mengekalkan kerusi Ahli Parlimen Johor Bahru disambut baik bukan saja oleh ahli parti malah seluruh masyarakat di Johor Bahru. Namun saya yakin BN Johor cukup bersedia untuk menampilkan ramai calon muda dalam menghadapi piliha nraya umum kali ini. Kami menanti kedatangan anda (pembangkang) untuk berdepan dengan BN,” tambahnya lagi. -UMNOOnline

Leave a Reply