Pastikan Kemajuan Johor Seimbang

Pastikan Kemajuan Johor Seimbang

KOTA ISKANDAR, 6 Okt. – Kerajaan Negeri sedar bahawa usaha menyebar dan mempertahankan syiar Islam adalah elemen penting bagi mengelakkan Bangsa Johor terjerumus ke arah kehidupan tanpa nilai.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata tiada guna jika negeri terus maju dan membangun, tetapi susut indeks rohani dan spiritualnya.

“Kita mahu dalam keadaan Johor membangun, ekonomi bertumbuh, negeri ini menjadi negeri yang Islami. Kita tidak mahu Johor maju dan terkehadapan, tetapi susut indeks rohani dan spiritualnya.

“Kita tidak boleh menjadi bangsa yang meninggalkan jalan agama. Ia bukan bentuk masyarakat berkemajuan yang kerajaan pada hari ini inginkan dan itu bukanlah Johor Berkemajuan yang kita rencanakan,” katanya.

Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri sudah menyediakan pelbagai dasar, program dan agenda dalam memartabatkan agama Islam di Johor.

“Kita mempunyai pelbagai pengisian bagi memudahkan dan membolehkan masyarakat bukan sahaja melaksanakan ibadahnya, tetapi juga komitmen kita menyediakan sistem pendidikan yang teratur, baik dan sempurna yang akan diteruskan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Food Truck Usahawan Asnaf, Penyerahan Masjid-Masjid Baharu dan Program Semarak Jawi bersempena Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di Dataran Mahkota di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain daripada menjadi salah sebuah negeri termaju di Malaysia, Kerajaan Negeri juga mahu Johor dikenali sebagai negeri yang memiliki rakyat yang berbudi pekerti tinggi dan mengekalkan jati dirinya.

“Kita juga perlu mengekalkan identiti sebagai sebuah bangsa yang bertamadun.

“Kita perlu pastikan kekayaan khazanah yang selama ini kita miliki jangan terkubur semata-mata kerana kita berjaya mengejar kemajuan,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan sewa beli food truck kepada 10 penerima asnaf yang layak bernilai RM38,860 setiap seorang, membabitkan kos keseluruhan RM388,600.

Beliau turut menyempurnakan simbolik penyerahan masjid-masjid baharu kepada Jawatankuasa Masjid melibatkan dua buah masjid iaitu Masjid Kampung Sungai Danga dan Masjid Pulai Indah.

Masjid Kampung Sungai Danga melibatkan kos pembinaan berjumlah RM5 juta yang mampu menampung seramai 1,000 jemaah dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

Bagi Masjid Pulau Indah pula, ia melibatkan kos berjumlah RM10 juta dan dapat menampung seramai 3,500 jemaah pada satu-satu masa.

Selain itu, Mohamed Khaled juga menyampaikan hadiah utama kepada pemenang utama peraduan akhir Semarak Jawi.

Semarak Jawi adalah satu inisiatif di bawah Johor Corporation dalam menggalakkan lebih ramai masyarakat terutamannya generasi muda untuk menulis dan membaca jawi. –JAUHAR

Leave a Reply