Siapa Sebenarnya Ketandusan Pemimpin? Pembangkang Buat Dakwaan Malukan Diri Sendiri

Siapa Sebenarnya Ketandusan Pemimpin? Pembangkang Buat Dakwaan Malukan Diri Sendiri

MUAR, 5 Okt – Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Hassan Johari menyifatkan kenyataan Ketua Penerangan PKR Johor, Akmal Nasir yang mendakwa UMNO Johor kini ketandusan pemimpin pelapis sebagai dakwaan yang sama sekali tidak berasas serta  tidak melihat daripada sudut realiti yang sebenar.

Menurut beliau, UMNO Johor khususnya dan UMNO Malaysia secara amnya, sentiasa mempunyai pelapis-pelapis kepimpinan muda di setiap peringkat lapisan sayap kerana antara tujuan UMNO adalah untuk melahirkan pelapis kepimpinan Melayu yang berwibawa untuk terus memimpin negara.

“Saya kira dakwaan Akmal itu tidak tepat. Beliau tidak melihat kepada realiti sebenar perkembangan parti UMNO ini. Jika dilihat dari sudut keahlian saja, kita juga menerima ribuan borang di kalangan anak-anak muda untuk menyertai UMNO. Semakin ramai anak-anak muda yang menyertai UMNO, secara tidak langsungnya muka-muka baru yang berbakat pemimpin di kalangan anak muda akan muncul.

“Hari ini juga kita boleh lihat bahawa di setiap negeri, insyaAllah ada pelapis-pelapis kepimpinan muda UMNO yang mempunyai latar belakang yang baik. Ada diantara mereka juga yang menjadi terpilih menjadi ahli dewan undangan negeri dan juga ahli parlimen.

“Begitu juga kita di Johor. UMNO Johor sentiasa mengalu-alukan generasi muda untuk menyertai UMNO sebagai pelapis kepada kepimpinan UMNO yang sedia ada hari ini. Ada pemimpin muda dari Johor yang menjadi ahli parlimen dan sebagainya. Ini memperlihatkan bahawa kita tidak pernah ketandusan pemimpin. Jadi dakwaan Akmal itu langsung tidak ada asasnya.

“Adalah tidak tepat beliau hanya melihat kepada isu Tan Sri Shahrir Samad yang mengumumkan akan tetap bertanding di Johor Bahru sebagai asas kepada kenyataan beliau itu,” tegas beliau kepada UMNO Online di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Penerangan PKR Johor, Akmal Nasir mendakwa UMNO Johor berkemungkinan tidak ada pelapis pemimpin muda yang boleh diketengahkan untuk menggantikan Tan Sri Shahrir Samad yang mengumumkan akan kembali bertanding setelah membuat keputusan untuk tidak lagi bertanding pada PRU ke 14 ini beberapa bulan yang lalu.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata, Pakatan Harapanlah yang sebenarnya ketandusan pemimpin apabila mengambil bekas pemimpin UMNO setiap kali bila ada pemimpin UMNO keluar parti, untuk menjadi ketua dalam senario politik hari ini mereka.

“Jika pembangkang tidak ketandusan pemimpin, mereka tidak akan ambil dan kitar semula bekas pemimpin-pemimpin UMNO untuk mereka jadikan sebagai ketua. Hari ini, yang membarisi kepimpinan tertinggi pakatan pembangkang majoritinya adalah pemimpin UMNO.

“Anwar Ibrahim, Dr Mahathir, Muhyiddin Yassin, Mukhriz Mahathir, semua itu adalah bekas-bekas pemimpin UMNO. Mana pemimpin yang benar-benar lahir dari pembangkang? Hanya Lim Kit Siang saja. Itu pun beliau bukanlah pemimpin yang berkarisma yang boleh diletakkan sebagai pemimpin tertinggi pakatan harapan.

“Malah, kepimpinan pelapis muda yang cuba ditonjolkan pembangkang juga tidak mampu mencapai tahap kewibawaan sepertimana yang ada di dalam UMNO. Jadi, saya kira Akmal jangan menilai dari sudut yang sempit, tetapi perlu melihat dari sudut yang lebih besar sebelum membuat andaian atau dakwaan berhubung sesuatu perkara itu,” ujarnya.

-UMNOOnline

Leave a Reply