Johor Mahu Buktikan Setiap Perancangan Demi Rakyat

Johor Mahu Buktikan Setiap Perancangan Demi Rakyat

ISKANDAR PUTERI, 5 Okt. – Penganjuran Ekspo Johor Berkemajuan yang akan bermula esok membuktikan keseriusan Kerajaan Negeri dalam membuat perancangan demi memenuhi keperluan rakyat di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata Kerajaan Negeri mempunyai kesedaran yang mendalam bahawa tidak wujud keadaan yang terpisah antara kerajaan, perancangan dan kehendak rakyat.

“Apabila kita (Kerajaan Negeri) buat semua ini, kita nak tunjukkan kepada rakyat bahawa apa pun yang kita buat di Johor adalah berasaskan perancangan.

“Malah, ia juga dibuat atas perancangan besar yang tersusun serta diukur berdasarkan keberkesanannya dan bukan dibuat secara sesuka hati,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan akhir penganjuran Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di tapak ekspo, petang tadi.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Md. Jais Sarday; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Ramlee A. Rahman.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga mahu supaya rakyat untuk melihat sendiri apa yang sedang berlaku di Johor apabila berkunjung ke ekspo berkenaan.

“Kita mahu rakyat melihat sendiri dan menyedari apa yang kita capai hari ini adalah hasil sumbangan mereka juga.

“Kita mahu rakyat merasa berbangga dan bersedia untuk memikirkan serta menyumbang secara berterusan terhadap kemajuan negeri Johor,” katanya. –JAUHAR

Leave a Reply