Projek Terusan Kra Tidak Akan Jejaskan Malaysia Dalam Masa Terdekat, Kata Mustapa

Projek Terusan Kra Tidak Akan Jejaskan Malaysia Dalam Masa Terdekat, Kata Mustapa

ISKANDAR PUTERI, 3 Okt — Projek Terusan Kra di Thailand, jika menjadi kenyataan, tidak akan menjejaskan Malaysia dalam masa terdekat, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Kita sudah bercakap mengenainya sejak 40 hingga 50 tahun lepas, orang ramai terus mengulangi isu tersebut daripada semasa ke semasa.

“Jika ia berlaku, ia akan mengambil masa yang lama dan pada ketika itu ASEAN sudah pun menjadi lebih bersepadu,”katanya kepada pemberita pada Simposium Pelaburan Iskandar Malaysia 2017 di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, adalah tidak benar jika dikatakan ia tidak mempunyai kesan langsung ke atas Malaysia dan Singapura, tetapi ia tidak akan berlaku dalam masa terdekat.

Mustapa mengulas mengenai komentar yang diterbitkan hari ini yang menyatakan Projek Terusan Kra akan menyaksikan kapal mempunyai akses ke Thailand daripada Lautan Hindi dengan memintas Malaysia dan Singapura, akan menjejaskan pelaburan, projek infrastruktur serta pelabuhan kedua-dua negara.

Sebelum itu, beliau menyampaikan ucaptama di simposium berkenaan mengenai “Harimau ASEAN: Kebangkitan Kuasa Ekonomi Seterusnya”.

Mengenai pelaburan intra-ASEAN, Mustapa berkata, kementerian akan mempromosi secara aktif Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan ASEAN.

Menurutnya, sehingga akhir tahun ini dan tahun depan, kementerian itu akan menjalankan lebih banyak promosi bagi meningkatkan kesedaran mengenai pelbagai peluang di Malaysia.

“Di ASEAN, terdapat peningkatan minat oleh sesetengah syarikat ASEAN untuk melabur di negara lain di rantau ini.

“Ketika ini kita melihat syarikat Singapura melabur di Johor dan Indonesia, di samping syarikat Thailand melabur di Johor,”katanya dengan menambah, lebih banyak promosi boleh dilakukan bagi menarik syarikat Indonesia.

Dengan memberi contoh Iskandar Malaysia sebagai lokasi strategik, beliau berkata, kedudukannya yang hampir dengan Singapura boleh menjadi kelebihan untuk menarik syarikat negara tersebut melabur di Johor. -Bernama

Leave a Reply