Laman Media Perhimpunan Agung UMNO 2017 Lebih Selesa Dan Luas

Laman Media Perhimpunan Agung UMNO 2017 Lebih Selesa Dan Luas

KUALA LUMPUR, 3 Okt — Para petugas media yang membuat liputan Perhimpunan Agung UMNO 2017 pada awal Disember ini akan mempunyai ruang kerja yang lebih selesa dan luas bagi memberikan liputan terbaik perhimpunan agung tahunan parti itu.

Setiausaha Kerja UMNO Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata Laman Media bagi liputan perhimpunan ini akan beroperasi di Dewan Tun Abdul Razak 4, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sekali gus menempatkan semua organisasi media cetak dan elektronik negara serta ruang bekerja kondusif portal berita dan penulis blog berdaftar.

“Saya mencadangkan pada perhimpunan kali ini Laman Media dipindahkan ke Dewan Tun Abdul Razak 4 bagi memberikan ruang lebih selesa berbanding sebelum ini di Bilik Mawar…untuk memberi kemudahan lebih baik dari sudut teknikal dan penyiaran berita semua organisasi media,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat penyelarasan media Perhimpunan Agung UMNO 2017 hari ini.

Laman Media perhimpunan agung tahunan parti tunjang Barisan Nasional, yang sering menjadi tumpuan media termasuk agensi berita antarabangsa, sebelum ini beroperasi di Bilik Mawar sejak 2011.

Penambahbaikan Laman Media kali ini meliputi penyediaan ‘Ruang Kerja Santai’, Bilik Sidang Media, surau serta ruang makan setempat bagi kemudahan lebih kondusif pertambahan petugas media, sementelah perhimpunan kali ini bakal menjurus kepada isu-isu pilihan raya umum ke-14.

Mengalu-alukan organisasi media untuk memberi maklum balas dan pandangan bagi menambah baik keperluan petugas media membuat liputan, Ab Rauf turut mengingatkan organisasi media mengemukakan permohonan akreditasi pas media para petugasnya sebelum tarikh akhir pada 31 Okt.

Beliau berkata pihaknya juga akan meningkatkan tahap keselamatan di PWTC dengan menggunakan teknologi pengimbas keselamatan Sistem Pengenalan Diri Frekuensi Radio (RFID) bagi mengesan ketulenan setiap pas pengenalan diri perwakilan, pemerhati dan pengamal media.

Katanya langkah itu bertujuan mengelakkan perbuatan menipu pas pengenalan, yang sebelum ini menggunakan sistem barcode, untuk memasuki dewan perhimpunan serta Laman Media oleh segelintir mereka yang mencetak semula pas.

Selain itu, antara pengisian sempena perhimpunan agung parti kali ini adalah penganjuran forum antarabangsa yang menjurus kepada pembabitan wanita dalam politik, selain agenda lazim majlis Taklimat Presiden pada 5 Dis, perhimpunan agung sayap-sayap parti pada 6 Dis dan diikuti perhimpunan agung parti pada 7 hingga 9 Dis. -Bernama

Leave a Reply