Iskandar Malaysia Perlu Ambil Kira Ekonomi Didorong Millennial – MB Johor

Iskandar Malaysia Perlu Ambil Kira Ekonomi Didorong Millennial – MB Johor

ISKANDAR PUTERI, 3 Okt  — Iskandar Malaysia perlu bersedia untuk memudahkan transformasi baharu, yang bermakna mengambil kira ekonomi baharu didorong oleh generasi millennial, kata Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata 69 peratus daripada populasi Iskandar Malaysia ialah golongan belia yang berusia antara 16 dan 40 tahun.

“Kita perlu berinteraksi dengan golongan muda kita. Kita tidak boleh anggap seperti biasa, kerana kita perlu belajar dan memahami nilai-nilai dan trend perniagaan generasi millennial,” katanya sebelum merasmikan ‘Simposium Invest Iskandar Malaysia 2017’ di sini, hari ini.

Mohamed Khaled, yang juga pengerusi bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar berkata Iskandar Malaysia perlu membawa masuk pelaburan baharu yang akan terlibat melangkaui industri konvensional, bukan hanya dalam hartanah, tetapi juga dalam sains dan teknologi.

Beliau berkata generasi millennial progresif, tidak gentar membuat perubahan dan melahirkan inovasi serta idea baharu.

“Sebagai generasi yang berani mengambil risko, millennial berminat mencari jurang dalam pasaran dan tidak takut untuk merebut peluang keusahawanan baharu.

“Justeru itu, terdapat gelombang syarikat pemula dan aktiviti keusahawanan baharu yang memerlukan pelaburan daripada pelabur budiman dan pemodal teroka, dan pengurus pelaburan perlu memberi perhatian kepada produk, perkhidmatan dan model baharu ini atau berdepan risiko akan ketinggalan,” katanya.

Mohamed Khaled menyebut pendanaan masyarakat sebagai contoh pengumpulan modal, sambil berkata pertumbuhan pesatnya bersama dengan kaedah inovatif lain pengumpulan modal yang didorong generasi millennial sudah pastinya mengubah cara pelaburan diperoleh pada masa depan.

Selain itu, Menteri Besar berkata generasi millennial cenderung untuk membuat kebajikan dan merasa terpanggil untuk menjadikan dunia ini tempat tinggal yang lebih baik.

“Ini telah meningkatkan keusahawanan sosial. Generasi millennial yang mementingkan nilai membangunkan, membiayai dan melaksanakan penyelesaian bagi pelbagai isu.

“Ini membawa kepada syarikat pemula sosial menyelesaikan pelbagai isu seperti golongan gelandangan, penjanaan kuasa mikro dan peluang pendidikan kepada golongan kurang bernasib baik,” katanya.

Justeru, pelbagai peluang telah diwujudkan bagi pelabur untuk melaksanakan pelaburan bertanggunggjawab dari segi sosial, katanya. -Bernama

Leave a Reply