Johor Akan Cadang Kerajaan Pusat Tambah Baik Undang-undang Berkaitan Kesalahan Terhadap Pencemaran Air

Johor Akan Cadang Kerajaan Pusat Tambah Baik Undang-undang Berkaitan Kesalahan Terhadap Pencemaran Air

JOHOR BAHRU, 2 Okt — Kerajaan Johor akan mencadangkan kepada kerajaan pusat bagi menambah baik undang-undang dan akta berkaitan penguatkuasaan serta kesalahan terhadap pencemaran air supaya sebarang kejadian seumpama  itu dapat ditangani sewajarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor Datuk Hasni Mohammad berkata buat masa ini Kerajaan Johor melihat undang-undang dan akta sedia ada  memerlukan penambahbaikan.

“Di negara kita, agensi yang bertanggungjawab terhadap pencemaran air ada banyak seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Badan Kawal Selia Air Johor (Bakaj) dan  Jabatan Alam Sekitar.

“Namun, undang-undang dan akta berkaitan penguatkuasaan serta kesalahan terhadap pencemaran air setiap agensi masing-masing itu berbeza. Pada Johor undang-undang ini juga tidak begitu mencerminkan tentang begitu pentingnya kita mengawal atau memantau apa jua bentuk ancaman kepada sumber sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian ‘Water Leaders Forum’ oleh Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan turut dihadiri Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, di sini hari ini.

Hasni berkata tindakan kerajaan Johor mencadangkan kepada kerajaan pusat itu ekoran berlakunya beberapa kejadian pencemaran ammonia di negeri ini yang menyebabkan pengguna mengalami gangguan bekalan air disebabkan loji rawatan air yang tidak dapat beroperasi berikutan bacaan ammonia yang tinggi.

“Dalam berdepan gangguan bekalan air ini, kita perlu melihat dari segi perundangan. Saya tahu rakyat sudah bosan kerana tiap-tiap kali berlaku pencemaran, kita jawab disebabkan ammonia meningkat. Sebab itu kerajaan negeri perlu berbuat sesuatu bagi mengatasi masalah ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hasni berkata kerajaan Johor sudah membelanjakan lebih RM500 juta tahun ini bagi meningkatkan keupayaan simpanan air di negeri ini.

Beliau berkata ia merangkumi projek Penyaluran Air Mentah Iskandar Malaysia (PAMIM), pembinaan Loji Rawatan Air Kahang di Kluang berserta Saluran Pemindahan Air Sementara serta Projek Pemindahan Air Mentah Sungai Lenggor ke Empangan Congok dekat Mersing.

Terdahulu, Mohamed Khaled dalam ucapan perasmian berkenaan pula berkata Kerajaan Johor komited menyelesaikan masalah air dengan segera dan sebaiknya.

Beliau berkata berdasarkan kepada Kajian Sumber Air Negeri Johor 2010-2060, permintaan air dijangka meningkat daripada 1,507 juta liter sehari pada tahun 2010 kepada 3,257 juta liter sehari pada tahun 2028.

“Berbanding dengan apa yang dibekalkan hari ini, permintaan air dalam tempoh 11 tahun akan datang dijangka meningkat sebanyak lebih kurang 80 peratus, jadi, adalah kritikal untuk kerajaan negeri bersama-sama dengan semua pihak berkelayakan dan mempunyai kepakaran untuk terus duduk semeja dan mencari penyelesaian kepada isu ini,” katanya.

Forum dua hari sehingga esok itu disertai sembilan ahli akademik, 15 profesional, 30 wakil kementerian dan jabatan, sembilan badan bukan kerajaan dan 11 peserta luar negara. -Bernama

Leave a Reply