Johor Komited Ubah Persepsi Rakyat Terhadap Kerjaya Kemahiran

Johor Komited Ubah Persepsi Rakyat Terhadap Kerjaya Kemahiran

JOHOR BAHRU, 1 Okt  — Kerajaan negeri mahu terus berusaha mengubah persepsi masyarakat yang menganggap kemahiran sebagai kerjaya ‘pilihan terakhir’ bagi meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat Johor.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerjaya bidang kemahiran  merupakan laluan kerjaya alternatif yang lebih baik selain mampu menawarkan pendapatan  tinggi.

Katanya antara usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri adalah menjalin kerjasama dengan pemain-pemain industri untuk memastikan kemahiran tenaga kerja tempatan memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.

“Kita memang sentiasa lakukan promosi seperti pengiklanan dan sebagainya tetapi nampaknya ia kurang memberi kesan kepada masyarakat. Atas sebab itu, kita mengambil langkah yang lebih kerana kita benar-benar mahu peluang pekerjaan itu diambil rakyat kita.

“Kita juga pastikan latihan dijalani pelajar-pelajar bidang kemahiran merupakan kemahiran yang industri mahukan…apabila mereka tamat pengajian, mereka sudah ada kerja yang menunggu,”katanya kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan memorandum persefahaman di antara Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ) dan Organisasi Industri Minyak dan Gas di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata kerajaan juga mengambil langkah untuk memastikan bidang-bidang kemahiran adalah relevan dan para penyedia latihan perlu menjalankan latihan secara kerjasama supaya proses menyediakan tenaga kerja mahir dapat dibuat dengan segera.

“Kerajaan perlu mainkan peranan untuk mengurus dan menyusun secara proaktif perkara seperti ini supaya kesan kehadiran pelaburan dan syarikat-syarikat yang melabur di Johor benar-benar dimanfaatkan rakyat negeri ini.

“Masyarakat kita kadang-kala mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ dan tidak melihat keperluan untuk mereka melalui proses persediaan untuk menghadapi pembangunan seperti ini.

“Masyarakat harus dididik bahawa tiada jalan pintas untuk mengambil peluang ini sebaliknya mereka perlu memiliki kemahiran melalui latihan dan sebagainya,”jelasnya.

Beliau berkata RAPID Pengerang adalah projek mega yang harus diuruskan dengan cemerlang bukan sahaja daripada segi kelengkapan infrastrukturnya malah di segi keupayaan membekalkan sumber manusia dan modal insan yang berkelayakan, berkualiti dan terlatih.

“Apabila siap dan beroperasi sepenuhnya kelak pada 2019, RAPID Pengerang memerlukan tenaga kerja mahir sehingga seramai 54,000 orang dalam pelbagai bidang teknikal dan kemahiran.

“Kekosongan pekerjaan yang terbuka luas ini diharapkan dapat diisi oleh lepasan bidang kemahiran termasuk pelatih pelbagai bidang minyak dan gas dari KPYPJ. Ini adalah peluang untuk anak-anak muda Johor merebut pekerjaan di Johor dan menetap di Johor,”kata Mohamed Khaled.

Mengikut kadar semasa, pelatih bidang pemasangan perancah ketika ini mampu mencapai gaji sehingga RM2,800 dan RM3,000 sebulan selepas menduduki tahap dua kursus berkenaan manakala pelatih ledakan, mengecat dan kimpalan turut berpeluang menikmati gaji sehingga RM3,000. -Bernama

Leave a Reply