Pembangkang Cuba Rosakkan Minda Rakyat Menjelang PRU-14

Pembangkang Cuba Rosakkan Minda Rakyat Menjelang PRU-14

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Fahariyah Md Nordin berkata, rakyat harus lebih berhati-hati dengan pembangkang kerana kini mereka sedang berusaha keras merosakkan minda masyarakat bagi meraih undi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang sudah semakin hampir.

Kata beliau, ini jelas dapat dilihat apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan seolah-olah kerajaan Persekutuan sengaja tidak mahu meluluskan projek tambak laut di negeri itu sekaligus mengganggu pelaksanaan pelan induk pengangkutan negeri itu yang turut melibatkan pembangunan laluan transit aliran ringan (LRT).

“Rakyat khususnya di Pulau Pinang harus sedar mengapa kerajaan sehingga kini masih tidak memberi kelulusan terhadap projek tersebut. Jika kelulusan diberi, ia akan mengakibatkan periuk nasi 1,800 orang nelayan terjejas teruk.

“Kerajaan tidak pernah mempolitikkan perkara untuk pembangunan negara dan demi kebaikan rakyat, buktinya lihat sahaja LRT dan MRT yang dibina… ia melalui negeri Selangor yang diperintah oleh pembangkang.

“Sekiranya sesuatu projek itu memberi keuntungan kepada rakyat, maka tidak kiralah dari negeri pimpinan pembangkang atau Barisan Nasional (BN), maka ia akan dilaksana sebaliknya jika memberi impak negatif kepada rakyat maka sudah tentu ianya akan ditolak,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Fahariyah berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung Dap yang belum disahkan jawatan itu ketika berucap di majlis makan malam Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi di Bayan Baru baru-baru ini, bahawa satu-satunya cara untuk menjadikan ia (kelulusan tambakan laut) kenyataan ialah menukar perdana menteri, kemudian baru Pulau Pinang boleh mendapat kebenaran membina LRT.

Jelasnya, kenyataan Guan Eng itu sebenarnya sangat tidak bertanggungjawab dan hanya bertujuan untuk memburukkan nama kerajaan pusat dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebelum ini, para nelayan telahpun membuat bantahan terhadap projek tersebut kerana ia akan menjejaskan pendapatan mereka.

Untuk rekod projek tersebut akan mewujudkan kawasan tambahan seluas 4,500 ekar melalui tiga pulau di laut mengadap Permatang Damar Laut dan Teluk Kumbar yang dibimbangi akan menjejaskan mata pencarian 1,800 nelayan dan alam sekitar di situ. –UMNOOnline

Leave a Reply