Johor Destinasi Kedua BIKUM 2.0, Pemimpin Dan Penduduk Sambut Baik

Johor Destinasi Kedua BIKUM 2.0, Pemimpin Dan Penduduk Sambut Baik

LABIS, 29 Sept – Misi UMNO Bantu Rakyat 2.0 yang sebelum ini menjelajah di negeri Pahang hari ini membuka tirainya di selatan tanah air iaitu di Dewan Paya Merah,Labis, Johor Darul Takzim. Kedatangan rombongan yang diketuai Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BIKUM), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah disantuni Pengerusi BIKUM negeri itu, Azhar Ibrahim bersama penduduk setempat.

Orang ramai yang memenuhi Dewan Paya Merah mengambil kesempatan mengunjungi klinik kesihatan bergerak selain pelbagai kemudahan lain termasuk kaunter SSPN, servis motor percuma dan lain-lain lagi yang disediakan oleh pihak Biro Kebajikan.

Sejurus selesai program bantuan persekolahan dan SSPN kepada mereka yang terlibat di dewan berkenaan, Dr Shamsul Anuar bersama rombongannya bergerak pula ke kawasan perkampungan sekitar dengan beramah mesra bersama penduduk setempat .

“Kita telah pergi ke beberapa lokasi antaranya Kampung Paya Lama, untuk melihat dan melakukan tinjauan terhadap pesakit kronik bersama pasukan perubatan. Kita juga menghulurkan sumbangan terhadap mereka yang telah dikenalpasti di peringkat Parlimen

“Bercakap soal kebajikan ini, kita sememangnya dah lama menjadi juara…apa yang dilihat hari ini adalah secebis khidmat bakti kepada rakyat dan bukannya masa untuk pilihan raya dan sebagainya. Kita sentiasa malah sejak penubuhannya UMNO sentiasa mencari alternatif bagi terus membantu rakyat.

Bercakap soal sambutan serta penerimaan penduduk setempat pula, beliau yakin BIKUM banyak memberi kesan yang amat baik malahan dari segi kehadiran serta sambutan penduduk setempat pun cukup membanggakan biarpun sumbangan yang dihulurkan tidaklah besar, namun ia menunjukkan komitmen berterusan UMNO dalam membantu rakyat.

“Ya…betul UMNO sentiasa membantu rakyat tetapi apa yang kita laksanakan ini adalah nilai tambah kepada rakyat dan insya-Allah, kita akan teruskan lagi usaha seperti ini di Johor khususnya dalam memastikan rakyat mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Katanya lagi selain Labis, Ayer Hitam, Johor Bahru dan Simpang Renggam akan menjadi destinasi seterusnya termasuk beberapa lagi bahagian lain yang akan menyusul selepas ini.

Seorang penduduk, Ismail Mohd Noor, 51 menyifatkan misi yang dilaksanakan oleh BIKUM cukup baik kerana pertamanya memperlihatkan kesungguhan parti berkenaan dalam melaksanakan tanggungjawabnya kepada rakyat.

Keduanya pula, kata beliau lagi BIKUM dapat memberi ruang dan peluang yang terbaik bagi penduduk setempat untuk sama-sama menjayakan program berkenaan di akar umbi sekaligus membuka ruang untuk bersama pemimpin.

“Sebelum ini pun mereka sentiasa turun padang namun menerusi program seumpama ini sudah pasti akan menambah nilai kepada hubungan yang sedia terjalin sebelum ini. Teruskanlah untuk kepentingan rakyat,” katanya. –UMNOOnline

Leave a Reply