‘Islamaphobia’ mula bertapak dalam negara

‘Islamaphobia’ mula bertapak dalam negara

Kempas, 29 Sept – ‘Islamaphobia’ dilihat mula bertapak dalam Malaysia dimana Islam merupakan agama rasmi Persekutuan, dakwa seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) UMNO di Johor.

Susulan kontroversi dobi mesra Muslim baru-baru ini, Adun Kempas Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Jumat berkata, terdapat perbezaan ketara diantara agama dan bangsa yang gagal difahami sesetengah pihak.

“Apabila seorang usahawan menawarkan satu servis unik yang dapat menenangkan hati pelanggan Muslimnya, ini berkaitan dengan agama walaupun ianya bukanlah perkara yang wajib.

“Itu adalah keputusan perniagaannya sendiri. Sama juga seperti kewujudan pub dan bar di kawasan bermajoritikan Melayu kelas pertengahan di Taman Tun Dr Ismail (di Kuala Lumpur),” Tengku Putra berkata dalam kemaskini terbaru blognya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara terbabit, beliau berkata tindakan rasis pula adalah menghadkan peluang pekerjaan kepada sesetengah kumpulan sahaja dalam masyarakat.

“Tetapi apabila sebuh syarikat meletakkan syarat mandatori bagi pemohon kerja untuk fasih berbahasa Mandarin atau Cina, dalam sebuah negeri dimana bahasa itu bukanlah bahasa pertuturan utama ataupun kedua negeri tersebut, itu boleh diklasifikasikan sebagai rasis dan petualangnya layak digelar rasis,” katanya lagi.

Dalam kemaskini blognya itu juga, Tengku Putra turut berkongsi pautan iklan peluang pekerjaan yang beliau maksudkan.

https://www.jobstreet.com.my/en/job/technical-support-engineer-mandarin-speaker-johor-bahru-3404403?fr=21&src=16&srcr=12

Tengku Putra berkata demikian bagi mengulas tindakan Ahli Parlimen DAP Teo Nie Ching yang mencadangkan supaya undang-undang anti-diskriminasi dibentuk di Malaysia.

Nie Ching, yang merupakan ahli parlimen Kulai, berkata cadangan tersebut dibuat supaya campur tangan Diraja tidak diperlukan bagi membendung diskriminasi perkauman dari berulang.

Tengku Putra bagaimanapun menyelar cadangan itu, sebaliknya menggesa pemimpin DAP tersebut memperkenalkan undang-undang anti-hipokrit.

Pemimpin UMNO yang lantang bersuara untuk kepentingan masyarakat Melayu itu juga menegaskan DAP tidak seharusnya menggunakan pihak Istana untuk kepentingan politik sendiri.

“Saya cadangkan DAP untuk tidak menggunakan nama baik Sultan Johor dalam sesetengah perkara namun memilih untuk berdiam diri apabila Baginda bertitah mengenai satu sistem persekolahan untuk semua,” tegasnya.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum ini mengarahkan supaya pemilik dobi layan diri di Muar, yang sebelum ini hanya menawarkan servisnya kepada pengguna Muslim, untuk berhenti dari berbuat demikian.

Baginda turut menggesa supaya pemilik dobi tersebut meminta maaf kepada Baginda dan seluruh rakyat Johor.

Susulan daripada titah berkenaan, pemilik dobi tersebut telah meminta maaf kepada Sultan dan rakyat negeri Johor.

Malah turut dilaporkan pengusaha dobi berkenaan menurut titah Baginda untuk menawarkan servisnya kepada semua pengguna tanpa ada perbezaan agama mahupun bangsa.

Leave a Reply