Pembangkang Sasar Tawan Johor Bukan Perkara Pelik – Syaiful

Pembangkang Sasar Tawan Johor Bukan Perkara Pelik – Syaiful

JOHOR BAHRU, 28 Sept – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru, Syaiful Rizal Abd Ghani menyifatkan sesiapa sahaja boleh memasang impian termasuklah pakatan pembangkang yang meletakkan Johor sebagai sasaran utama pada Pilihan Raya Umum ke-14, kerana sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan negara kita selama ini.

Menurut beliau, sememangnya UMNO Johor menyedari hasrat pihak pembangkang untuk terus memperkukuhkan kedudukan mereka di negeri ini, namun beliau yakin dengan semangat dan solidariti yang diperlihatkan oleh ahli-ahli dan kepimpinan UMNO Johor, hasrat pembangkang untuk melebarkan sayap mereka ke negeri ini akan dapat dipatahkan.

Katanya, apapun ianya terserah kepada rakyat untuk membuat penilaian berdasarkan pentadbiran Johor hari ini yang dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Mohamed Khaled Nordin serta barisan kepimpinan mempunyai ‘track record’ yang amat baik.

“Kita tahu pembangkang merasakan mereka sudah cukup kuat untuk melebarkan kekuasaan di negeri ini. Tentunya kita tidak akan membenarkan mereka untuk berbuat demikian dan jentera kita akan berhabis-habisan untuk memastikan pembangkang tidak mampu bertapak walau sekecil mana pun kawasan yang mereka sasarkan itu.

“Seperti mana di bahagian Johor Bahru, saya beri jaminan mereka masih belum boleh masuk bertapak di kawasan ini kerana kita tahu akan kekuatan kita dan kita tahu apa kehendak dan aspirasi rakyat di kawasan ini.

“Jadi, jika pada PRU ke-13 sebelum ini pihak pembangkang menggunakan slogan ‘ini kalilah’ maka saya ingin beritahu mereka bahawa ‘lain kalilah’ bagi pihak pembangkang merealisasikan hasrat mereka untuk menawan beberapa kawasan DUN dan Parlimen di Johor ini,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tambahnya, beliau percaya rakyat akan melihat kepada ‘track record’ yang telah BN Johor laksanakan dan apa yang telah dirancangkan untuk rakyat Johor khususnya dalam soal pendidikan, perumahan, kebajikan dan sebagainya sedangkan tumpuan dan perhatian yang mereka ditawarkan oleh pihak pembangkang pula adalah sekadar janji kosmetik semata-mata selain gemar memanipulasi isu.

“Sebab itu, pada saya semuanya boleh memasang impian… dan juga boleh meletakkan sebarang harapan namun akhirnya kita penuh yakin sebuah parti yang ada ‘track record’ akan menjadi pilihan, insya-Allah.

“Kita tidak mengambil pendekatan populis sepertimana mereka khususnya PPBM sebaliknya UMNO dan BN melaksanakan bersandarkan kepada realiti yang sebenarnya.

“PPBM yang baru-baru ini melaungkan keazaman untuk mengantikan UMNO di Johor bukanlah klon UMNO walaupun presidennya bekas pimpinan tertinggi UMNO yang pernah melaungkan bahawa beliau ‘totok UMNO’ sebaliknya PPBM cuma parti yang menjadi tunggangan individu tertentu yang ingin terus berkuasa. Rakyat Johor tidak akan mudah tertipu,” tambahnya lagi.

Dilaporkan pakatan pembangkang kini meletakkan Johor sebagai sasaran utama untuk menawan Putrajaya.

Syaiful yang juga Pengerusi Pemuda BN Johor Bahru seterusnya berkata mereka sentiasa berwaspada dan semua peringkat berada di dalam keadaan siap sedia.

“Alhamdulillah…kita akan terus perkemaskan segala jentera di semua peringkat. Apa yang penting fokus dan tumpuan kita untuk membantu kemenangan BN negeri akan mencapai kejayaan. Insya-Allah,” katanya. – UMNOOnline

Leave a Reply