Kaitkan UMNO Parti ‘Katak’ Buktikan Kebimbangan Pembangkang – Shamsul

Kaitkan UMNO Parti ‘Katak’ Buktikan Kebimbangan Pembangkang – Shamsul

KUALA LUMPUR, 28 Sept – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menyifatkan pelbagai tohmahan dan dakwaan pembangkang terhadap UMNO termasuklah label parti ‘katak’ dan sebagainya sebagai kenyataan politik yang sekadar mengaburkan mata rakyat, khususnya penyokong mereka dalam memastikan sokongan berterusan kepada pembangkang.

Kenyataan `parti katak’ hanya timbul selepas bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib meninggalkan pakatan pembangkang dan kembali bersama UMNO, selepas yakin bahawa pembangkang tidak mempunyai hala tuju khususnya dalam memperjuangkan masa depan orang Melayu.

“Ketika Tan Sri Muhammad bersama mereka, tidak timbul pun perkara tersebut tetapi apabila beliau kembali kepada UMNO, barulah nak ditimbulkan isu ini.

“Apa yang mereka perkatakan itu menunjukkan kebimbangan pada parti mereka sendiri selepas ramai pemimpin mereka bertindak keluar parti dan kemudian Tan Sri Muhammad sendiri kembali kepada UMNO yang tentunya akan bersama-sama kepimpinan UMNO di Selangor dalam memberikan kekuatan dan semangat baru dengan pengalamannya selama ini ketika dalam pakatan pembangkang.

“Saya lihat kenyataan-kenyataan pemimpin pembangkang ini termasuk Tun Dr Mahathir dan pelbagai tuduhan ke atas UMNO memperlihatkan kebimbangan mereka terhadap perkembangan yang sihat dalam UMNO,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Lenggong.

Dalam masa yang sama, Ahli MT UMNO, Dato’ Sohaimi Shahadan berkata, walaupun ada pemimpin pembangkang dengan nada sinis menyifatkan Muhammmad atau lebih dikenali sebagai Mat Taib sebagai ‘surat khabar lama’, namun, bagi UMNO beliau umpama ‘buku lama’ yang menyimpan banyak ilmu.

‘Buku lama’ walaupun kulitnya sudah lusuh namun, isinya masih lagi berguna, bermanfaat dan boleh dijadikan rujukan. Begitulah Mat Taib, walaupun sudah veteran, namun, ilmu dan pengalamannya yang cukup lama bersama parti ditagih bagi membantu UMNO khususnya merampas Selangor.

“’Surat khabar lama’ sebenarnya berada dalam pakatan harapan. Malah Menteri Besar Selangor hari ini cukup gah menjulangnya sehinggakan lupa yang ‘surat khabar lama’ itu pernah mengheret Datuk Seri Anwar Ibrahim ke pejara suatu masa dulu.

“Keputusan Mat Taib untuk meninggalkan pembangkang iaitu PKR membuktikan sejak sekian lama parti itu tidak mempunyai dasar perjuangan untuk agama, bangsa dan negara. Malah, ia membuktikan UMNO terus kekal utuh sebagai wadah perjuangan yang membela agama, bangsa dan negara.

“Begitu juga tindakan pemimpin PPBM meninggalkan parti itu membuktikan kepada kita bahawa parti yang diasaskan daripada dendam dan matlamat peribadi tidak mempunyai perjuangan membela nasib rakyat,” ujarnya yang juga Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS). – UMNOOnline

Leave a Reply