Carilah lokasi di S’ngor atau PP untuk anjur festival arak – Jason Teoh

Carilah lokasi di S’ngor atau PP untuk anjur festival arak – Jason Teoh

Gelang Patah, 26 Sept – DAP tidak seharusnya mempolitikkan keputusan pembatasan festival arak di Kuala Lumpur sebaliknya digesa untuk mencari lokasi alternatif bagi festival tersebut dijalankan di negeri pimpinan Pakatan Harapan.

Menurut Pengerusi Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Datuk Jason Teoh, pimpinan DAP yang telah menentang keputusan pembatalan Better Beer Festival tersebut seharusnya memujuk rakan komponen mereka untuk menjayakan program tersebut di Selangor atau Pulau Pinang.

“Jika kerajaan negeri Selangor tidak meluluskannya, (Ketua Menteri Pulau Pinang) Lim Guan Eng boleh menawarkan festival tersebut dianjurkan di Pulau Pinang yang mempunyai majoriti penduduk Cina,” Teoh berkata, sambil menambah penganjuran festival tersebut dapat meningkatkan pendapatan industri pelancongan di negeri tersebut.

Beliau turut menggesa pimpinan DAP menyatakan pendirian mereka berkenaan isu tersebut kerana beberapa pemimpin Pakatan Harapan telah memberikan reaksi berbeza.

Teoh bagaimanapun berkata Lim harus bertangungjawab keatas sebarang insiden ataupun serangan dari kumpulan pengganas terhadap festival tersebut.

Festival arak itu sepatutnya berlangsung pasa 6-7 Oktober di Hartamas, dengan 250 jenis beer akan dijual.

Bagaimanapun, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata mereka telah menolak permohonan permit dari penganjur.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihak Bukit Aman mendapat maklumat bahawa kumpulan pengganas mensasarkan festival tersebut.

Beberapa pimpinan DAP bagaimanapun terus mengkritik tindakan DBKL menolak permohonan permit dari penganjur.

Teoh menegaskan walaupun orang bukan Islam berhak untuk menikmati arak, namun faktor penolakan permit festival tersebut harus diambil kira.

“Orang bukan Islam boleh minum arak di merata tempat kerana bar terdapat dimana-mana. Walaupun festival arak ini dibatalkan, orang bukan Islam masih lagi boleh menikmati minuman keras,” katanya.

Leave a Reply