Cabaran Indienomics 2.0 tanda sokongan kerajaan negeri kepada usahawan muda – @KhaledNordin

Cabaran Indienomics 2.0 tanda sokongan kerajaan negeri kepada usahawan muda – @KhaledNordin

Johor Bahru, 25 Sept – Cabaran Indienomics 2.0 merupakan satu pendekatan baharu untuk menggalakkan dan sebagai tanda sokongan kerajaan negeri kearah keusahawanan dikalangan orang muda dimana produk yang dihasilkan layak bersaing di peringkat global.

Menurut Menteri Besar Mohamed Khaled Nordin, program Cabaran Indienomics 2.0 ini memberikan penekanan kepada proses ‘pitching’ kepada bakal pelabur.

“Kita (juga) bangkitkan kesedaran (usahawan) untuk sedari (kenali) orang yang nak melabur. Dan ini adalah pendekatan baru dunia digital. Bukan sahaja banyak idea baru dihasilkan individu itu sendiri yang boleh dijadikan produk tetapi dia perlu ketengahkan mereka yang berminat untuk melabur.

“Sebagai ekonomi merdeka, kalau (kerajaan negeri) beri sokongan, ia boleh mantapkan perniagaan dan ini juga bangunkan produk hasil tempatan yang sebenarnya boleh pergi global,” kata Mohamed Khaled semalam.

Beliau juga berharap bahawa usahawan hari ini menyedari bahawa mereka harus mengadaptasi dengan perkembangan teknologi dan menggunakan dunia digital untuk memasarkan produk masing-masing.

“Ini cara baru, kalau kita tak beri galakan, kalau tak bersama dorong mereka idea itu habis begitu saja. Idea ini semua datang dari masalah yang dihadapi masyarakat,” katanya lagi.

Menurut Mohamed Khaled, proses ini merupakan keusahawanan sosial, yang menawarkan penyelesaian kepada isu yang dihadapi masyarakat.

Mohamed Khaled turut berkata usahawan dalam negeri Johor telah membantu memperkembangkan ekonomi negeri.

Beliau juga berkata kerajaan negeri juga telah memberikan peruntukan besar untuk program keusahawanan di negeri tersebut yang meliputi pelbagai bidang.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas tersebut, kerajaan negeri turut menitikberatkan penglibatan penyertaan orang Melayu dalam pertumbuhan ekonomi negeri.

“Penyertaan orang Melayu dalam ekonomi sangat penting. Satu, sebagai usaha untuk merapatkan jurang (kerana) saya percaya semua setuju tidak patut ada jurang yang besar antara kaum, antara kawasan, antara pekerjaan dan sebagainya,” katanya lagi.

Leave a Reply