OMJ Perlu Tampil Demi Masa Depan Johor

OMJ Perlu Tampil Demi Masa Depan Johor

SEGAMAT, 24 Sept. – Orang Muda Johor (OMJ) perlu tampil menjadi sebahagian daripada penyelesaian terhadap masalah di negara ini, khususnya di Johor.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata masa depan Johor harus menjadi tanggungjawab dan tugas semua OMJ.

“Anda mesti prihatin dengan kemajuan, kekurangan dan cabaran negeri ini. Mesti mengambil tahu segala aspirasi pemerintah khususnya negeri ini,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Penutup Himpunan Muafakat Belia Johor 2017 di Dataran Bandar Utama di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa, Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan, Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Azmi Rohani dan Presiden Majlis Belia Negeri Johor, Manndzri Nasib.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled turut mahu OMJ menjiwai gagasan yang telah diperkenalkan oleh beliau iaitu Johor Berkemajuan.

Katanya, gagasan itu bertujuan untuk memastikan wujud kemakmuran di Johor dan masyarakatnya.

“Gagasan ini mendambakan kesejahteraan dan keadilan sosial terhadap negeri tercinta milik kita ini.

“Malah, gagasan ini yang mensasarkan setiap insan dan anak di negeri ini diperkasakan bakat, potensi dan keunggulan dirinya,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, ia adalah sebuah wawasan paling munasabah untuk Johor yang sejahtera dan mahu semua OMJ bersama-sama untuk menjayakannya.

“Sekiranya anda merasakan wawasan ini kurang, ada defisitnya dan tidak lengkap, beritahulah saya. Lontarkan kecerdasan untuk saya jadikan ilham memperbaiki gagasan ini.

“Namun, jika anda berdiam diri, mengambil pendirian untuk tidak menyatakan apa yang terbuku dalam sanubari, maka amatlah tidak adil untuk menyalahkan saya dan kerajaan sekiranya kami gagal melaksanakan sesuatu yang sesuai dengan aspirasi anda,” katanya.

Beliau turut menggesa OMJ supaya bangkit dengan menjadi sebahagian daripada jentera besar yang membangunkan Johor, yang mana mereka semua adalah Team Johor.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled juga mahu golongan muda meraikan kehidupan muda remaja dengan menerokai segala perkara yang diinginkan.

“Belia dan beliawanis adalah masa depan Johor dan Malaysia yang sebenar-benarnya. Jika OMJ terbentuk baik, berilmu, berkeperibadian unggul, semangat luar biasa, maka masa depan Johor juga berada dalam keadaan baik dan unggul,” katanya.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled juga menyampaikan hadiah kepada Persatuan Belia Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Felda Bukit Aping Barat, Kota Tinggi yang muncul sebagai Johan Anugerah Perdana Pertubuhan Belia, sekali gus membawa pulang wang tunai RM15,000, trofi dan sijil, selain melancarkan lagu rasmi Majlis Belia Negeri Johor. –JAUHAR

Leave a Reply