Projek Bina Laluan Basikal Bermula Tahun Depan

Projek Bina Laluan Basikal Bermula Tahun Depan

PASIR GUDANG, 23 Sept – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkaitan telah diarahkan untuk memulakan projek membina laluan basikal di kawasan Iskandar Malaysia, mulai tahun depan.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata ini bagi memudahkan orang ramai untuk beriadah dan bermain basikal.

Katanya, beliau juga telah meminta Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Md Jais Sarday agar memberi perhatian kepada perkara terbabit.

“Memandangkan kini ramai yang berbasikal, jadi kita perlu buat jalan atau lorong khusus untuk basikal,” katanya berucap pada Program Kayuhan Prihatin DUN Permas ‘Fun Ride’ bersama beliau di Kampung Pasir Gudang Baru, di sini, hari ini.

Program yang turut disertai kira-kira 500 penduduk tempatan itu melibatkan kayuhan sejauh tujuh kilometer, bermula di Balai Raya Kampung Kuala Masai dan singgah di Kampung Sungai Rinting sebelum berakhir di Kampung Pasir Gudang Baru.

Turut hadir, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abd Samad dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Hasrin Kamal Hashim.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled juga menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf seperti bantuan kewangan, barang keperluan harian, tongkat dan kerusi roda.

Selain itu, Yayasan My Kasih turut menyumbang sebanyak 150 basikal yang akan diserahkan kepada Rukun Tetangga iaitu bagi Skim Rondaan Sukarela (SRS) di kawasan itu.

Berhubung program itu, Mohamed Khaled berkata, ia dapat mengekalkan nilai masyarakat misalnya, permuafakatan, keprihatinan dan kerjasama antara satu sama lain dengan lebih baik.

“Kita mahu masyarakat Pasir Gudang dan Permas mempunyai nilai seperti ini. Ciri-ciri yang kita mahu bangunkan dalam negeri berkemajuan.

“Dalam ekonomi Johor yang sedang pesat berkembang, mereka perlu mempunyai nilai insani dalam kalangan mereka, selain sebagai satu sumbangan dengan menyertai aktiviti kesukarelawanan seumpama ini.

“Apabila sebut negeri berkemajuan kita bukan saja bangga dengan ekonomi, tetapi mempunyai masyarakat yang terbaik,” katanya. -JAUHAR

Leave a Reply