Kit Siang peralat isu pesta arak untuk serang MCA

Kit Siang peralat isu pesta arak untuk serang MCA

Yong Peng, 23 Sept – Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai mendakwa pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mengambil kesempatan dari keputusan kerajaan menolak penganjuran pesta arak ‘Better Beer Festival 2017’ untuk kepentingan politiknya.

Menurut Tiong Lai, Kit Siang yang juga ketua ahli parlimen DAP bertindak menuduh beliau dan juga kerajaan berbohong mengenai ancaman keselamatan dari kumpulan militan sebagai sebab membatalkan pesta yang sepatutnya berlangsung di Kuala Lumpur pada 6 dan 7 Oktober ini.

Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkutan berkata pesta arak tersebut tidak dibenarkan untuk diadakan atas nasihat polis.

Tiong Lai turut membangkitkan perkara ini dalam mesyuarat Kabinet dan menjelaskan bahawa beliu berpuas hati dengan penjelasan diberikan bahawa permohonan menganjur pesta itu ditolak demi keselamatan rakyat.

“Saya hanya jalankan tugas selaku menteri dan Presiden MCA, menjelaskan kepada rakyat alasan penolakan permohonan itu bersama faktanya. Sebaliknya saya ditohmah sebagai penipu menyebabkan masyarakat juga memandang serong niat baik kerajaan yang mengutamakan keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen MCA Johor ke-40 di Yong Peng, semalam.

Tiong Lai berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Kit Siang dalam blognya yang menuduh beliau menipu mengenai sebab permohonan pesta arak tersebut ditolak kerajaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun juga dilaporkan telah mengesahkan bahawa larangan penganjuran pesta arak itu dibuat kerana dikhuatiri menjadi sasaran serangan kumpulan militan.

Menurut laporan media, Mohamad Fuzi berkata polis mendapat maklumat terdapat usaha dari pihak tertentu untuk menimbulkan kekacauan semasa festival itu berlangsung.

Tiong Lai, yang juga Ahli Parlimen Bentong menggesa Kit Siang menarik balik tuduhannya itu dan meminta maaf secara terbuka kerana telah mengelirukan rakyat.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 18 September lalu menolak permohonan penganjur bagi meneruskan acara tersebut.

DAP antara parti paling lantang mempersoalkan tindakan menghalang festival ini dari dilangsungkan.

Leave a Reply