Pesara Pengetua Sekolah Dari Johor Terima Anugerah Keamanan Korea Selatan

Pesara Pengetua Sekolah Dari Johor Terima Anugerah Keamanan Korea Selatan

SEOUL, 20 Sept — Pesara bekas pengetua sebuah sekolah menengah, Woo Sow Pheng, 62,  menerima anugerah daripada  sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Korea Selatan atas usahanya menggalakkan keamanan, keharmonian dan perpaduan di Malaysia.

Woo adalah antara 19 individu, termasuk bekas Presiden Croatia Ivo Josipovic dan bekas Perdana Menteri Armenia Hrant Bagratyan,  yang menerima anugerah keamanan itu daripada Lee Man Hee, Pengerusi  Heavenly Culture, World Peace, Restoration of Light (HWPL), sebuah NGO yang berdedikasi  dalam usaha menggalakkan keamanan,  penamatan perang dan penyatuan semula Korea Selatan dan Korea Utara.

Penyampaian anugerah itu dibuat semasa Sidang Kemuncak tiga hari World Alliance of Religions’ Peace (WARP) ketiga, perhimpunan antara agama yang disertai lebih 1,000 orang dari seluruh dunia, dan berakhir di sini semalam.

Woo yang juga Presiden Pertubuhan Pergerakan Wanita Johor, memberitahu Bernama, beliau tidak mengharapkan sebarang anugerah untuk usahanya menggalakkan keamanan.

“Banyak yang boleh kita lakukan untuk menggalakkan keamanan, keharmonian dan perpaduan bagi menjadikan Malaysia negara yang lebih baik,” kata Woo yang juga Penyelaras Jawatankuasa Keamanan Johor (JPC) bagi  Kumpulan Keamanan Wanita Antarabangsa (IWGP), yang merupakan sekutu HWPL.

Beliau berkata JPC akan menganjurkan sebuah forum dan pameran bertajuk “Bersama Demi Malaysia” dit SMK Sultan Ismail, Johor Bahru pada Sabtu. Forum itu itu dijadual dirasmikan Pengerusi Felda dan anggota Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Samad.

“Tujuannya ialah untuk membolehkan belia semua agama berkongsi kebanggaan dan kenikmatan hidup dalam keadaan aman, harmoni dan bersatu dalam negara pelbagai kaum Malaysia,” kata Woo sambil menambah kata beliau berhasrat menubuhkan IWGP cawangan Malaysia untuk memacu usaha terus menggalakkan keamanan dan perpaduan di negara ini. -Bernama

Leave a Reply