MIDA Komited Tarik Lebih Banyak Pelaburan Eropah Ke PIPC

MIDA Komited Tarik Lebih Banyak Pelaburan Eropah Ke PIPC

FRANKFURT, 20 Sept. – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) komited untuk membantu kerajaan negeri Johor menarik lebih banyak pelabur dari negara-negara Eropah untuk melabur di negeri ini khususnya di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).

Pengarah Pejabat MIDA Frankfurt, S. Siva berkata taklimat yang diberikan oleh Johor Petroleum Development Corporation (JPDC) dan kerajaan negeri amat penting bagi MIDA menggalakkan lebih banyak pelaburan, khususnya dalam bidang minyak dan gas ke negeri Johor.

“Perkembangan PIPC, dan status pembangunannya sangat penting kerana ia akan memberi peluang kepada MIDA untuk mengenal pasti projek-projek yang berkaitan untuk dibawa ke Johor. Bukan sahaja hanya projek-projek logistik, tetapi juga apa yang kita panggil projek-projek hiliran yang berasaskan produk minyak dan gas ini.

“Berdasarkan taklimat daripada kerajaan negeri, MIDA juga akan memberi fokus kepada projek berasaskan perubatan Peralatan Perubatan (Medical Devices), penjagaan kesihatan dan lain-lain bidang,’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi Perbincangan Perkongsian Status Terkini PIPC kepada MIDA yang berpangkalan di Frankfurt, Jerman, yang disampaikan Ketua Pegawai Operasi JPDC, Izhar Hifnei Ismail, di sini, hari ini.

Jelas beliau, MIDA sudah mengenal pasti beberapa syarikat yang berpotensi dan berharap supaya kerajaan negeri dapat membuat misi pelaburan khas bagi bertemu dan berbincang secara terus dengan syarikat-syarikat yang berpotensi itu.

“Kita di MIDA melihat ada banyak pelabur yang berminat untuk melabur dalam pelbagai projek yang boleh kita lakukan dengan Johor dan harapan MIDA supaya Johor sendiri dapat membuat misi projek terperinci (specific project mission) untuk berbincang secara terus dengan syarikat-syarikat yang sudah kita kenal pasti.

“Kerana kita lihat, fokus tadi bukan sahaja dalam bidang minyak dan gas tetapi banyak lagi peluang-peluang pelaburan bagi industri antaranya projek-projek teknologi tinggi dari Belanda kerana negara itu amat sinonim dengan projek-projek berkaitan industri minyak dan gas serta hilirannya, manakala dari German pula selain industri berteknologi tinggi, kita juga akan memfokuskan pelaburan-pelaburan dalam bidang jentera, farmaseutikal, penjagaan kesihatan, industri semi konduktor dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Azmi Rohani berharap supaya pihak-pihak seperti MIDA, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Kedutaan Malaysia di Jerman dapat memberi sokongan padu dan komitmen berterusan dengan cara membantu kerajaan persekutuan dan kerajaan Johor khasnya mempromosikan PIPC sebagai tempat pelaburan yang selamat dan berpotensi.

“Kerajaan negeri sangat komited bagi memastikan PIPC sebagai projek nasional berkepentingan stategik ini mencapai visi dan misinya.

“Menjelang 2020, Fasa 1 PIPC akan siap sepenuhnya dan jajaran infrastruktur seperti jalan raya, sistem pengaliran, penyediaan jaringan komunikasi dan sebagainya dijangka siap menjelang 2019,” katanya. –JAUHAR

Leave a Reply