JDT Kekal Rekod Cemerlang Di Gelanggang Sendiri

JDT Kekal Rekod Cemerlang Di Gelanggang Sendiri

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan rekod cemerlang di laman sendiri setelah menang bergaya 3-0 ke atas Kelantan pada aksi ke-20 liga di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Skuad Harimau Selatan yang sudah mengesahkan kejuaraan Liga Super untuk musim keempat berturut-turut sejak 2014, mengutip 48 mata hasil kemenangan tersebut.

Tiga gol JDT pada perlawanan berkenaan dijaringkan oleh S. Kunalan pada minit ke-19, Gonzalo Gabriel Cabrera (minit ke-36) dan kapten pasukan, Safiq Rahim pada minit ke-55.

Pahang pula merampas tangga kedua dari Kedah setelah menang selesa 3-0 ke atas pasukan bawahan liga, Sarawak di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Tiga gol skuad Tok Gajah disumbangkan oleh R. Kogileswaran pada minit ke-22 dan D. Christie Jayaseelan pada minit ke-27 dan minit ke-41.

Kekalahan tersebut menyaksikan Sarawak sah tersingkir bersama Pulau Pinang ke saingan Liga Perdana, musim depan.

Felda United pula mengekalkan kedudukan keempat liga walaupun melakar kemenangan 3-1 ke atas Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Tiga gol skuad ‘The Fighters’ dijaringkan oleh Wan Zack Haikal Wan Nor seawal minit pertama dan minit ke-48 serta gol Thiago Augusto Fernandes pada minit ke-19 manakala Kedah meraih gol saguhati menerusi pemain import dari Denmark, Ken Ilso Larsen pada minit ke-21.

Selangor dan Perak turut mengekalkan kedudukan mereka di tangga kelima dan keenam walaupun kalah kepada lawan masing-masing.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor tewas 2-1 kepada pasukan ‘adik’,  PKNS FC dengan Rufino Segovia menjaringkan gol pembukaan untuk Selangor seawal minit pertama perlawanan sebelum pasukan pelawat bangkit meraih dua gol menerusi Shahrul Azhar Ture pada minit ke-25 dan Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-64.

 

Perak pula kalah mengejut 1-3 kepada pasukan bawahn liga, Melaka United di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Tiga gol Melaka United pada perlawanan berkenaan dijaringkan oleh Marko Simic pada minit ke-29, Jeon Woo Young (minit ke-71) dan Felipe De Almeida Sauza pada minit ke-84 manakala Perak meraih gol saguhati menerusi Shahrul Mohd Saad pada minit ke-49.

Pulau Pinang, yang sah tersingkir ke saingan Liga Perdana, musim depan terus dirundung malang setelah tewas 2-0 kepada wakil Terengganu, T-Team di Stadium Negeri, Batu Kawan.

Dua gol skuad ‘The Titans’ disumbangkan oleh Muhammad Fauzi Abdul Kadar pada minit ke-28 dan Mohd Asrol Ibrahim pada minit ke-58.

Leave a Reply