Program ‘UMNO Bantu Rakyat 2.0’ Jelajah 60 Kawasan Parlimen Bermula 22 Sep Ini

Program ‘UMNO Bantu Rakyat 2.0’ Jelajah 60 Kawasan Parlimen Bermula 22 Sep Ini

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BIKUM) akan menganjurkan jelajah ‘UMNO Bantu Rakyat 2.0’ ke 60 kawasan parlimen di seluruh negara mulai 22  September ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, program ini memperlihatkan kesungguhan dalam memperkasa imej UMNO sebagai parti yang sejak 71 tahun lalu mengutamakan kebajikan ahli dan rakyat sesuai dengan tanggungjawab UMNO sebagai parti pembela rakyat.

“Soal membantu rakyat ini bukan perkara baru, baik di peringkat kerajaan, begitu juga melalui parti (UMNO), kita telah laksanakan sejak dahulu lagi dalam pelbagai aspek dan dalam apa keadaan sekalipun kita mahu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat kerana rakyat memang mahukan pembelaan.

“Sebab itu, falsafah kita adalah untuk terus menunjukkan imej parti yang mengutamakan kebajikan rakyat, membela rakyat dan tidak berpolitik sepanjang masa sebaliknya yang penting ialah rakyat sentiasa diberikan pembelaan,” ujarnya yang juga Pengerusi Biro Kebajikan UMNO.

Katanya, soal pembelaan rakyat ini seharusnya menjadi keutamaan mana-mana pemimpin khususnya di peringkat akar umbi kerana ia perjuangan utama, apatah lagi ketika kita berhadapan dengan cabaran hari ini yang semakin hebat.

“UMNO Bantu Rakyat 2.0 berbeza sedikit dari sebelum ini kerana kita akan lebih mendasar ke kumpulan sasar. Kita kekalkan identiti dengan program tanpa protokol, kita tidak mahu acara-acara yang akan lebih menyusahkan tetapi kita adakan program yang akan lebih mendekatkan rakyat dengan pemimpin ke akar umbi.

“Untuk kali ini, kita mahu pemimpin tempatan sendiri yang turun padang, kita di peringkat pusat yang bawa turun program ini ke lebih 60 kawasan parlimen dengan menampilkan pemimpin setempat untuk memberikan perkhidmatan dan bersama rakyat,” jelasnya.

Ujarnya, pemimpin di peringkat akar umbilah yang faham dan tahu siapa yang perlu dibantu, mereka yang tahu kumpulan sasarnya dan BIKUM percaya, ia merupakan pendekatan terbaik dalam memastikan kumpulan sasar yang harus dibantu mendapat pembelaan sewajarnya.

“Kita akan pergi ke 1,000 buah rumah di setiap lokasi, kita bukan mahu mereka yang datang tetapi kita termasuk pemimpin setempat yang akan berkunjung rumah mereka.

“Kita akan libatkan sukarelawan dari GiatMARA untuk sama-sama dalam Briged BIKUM dengan membantu membaiki rumah-rumah rosak yang akan kita lawati, selain pasukan perubatan BIKUM sendiri sebagaimana sebelum ini untuk membuat pemeriksaan perubatan percuma kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Maklum beliau, program UMNO Bantu Rakyat 2.0 ini merupakan kesinambungan program UMNO Bantu Rakyat fasa 1 yang dilancarkan pada 19 Mei lalu dan telah berjaya membantu kira-kira 300,000 golongan sasar yang memerlukan di negara ini.

“Jelajah berkonvoi ini menggunakan kenderaan pacuan empat roda dengan dibantu Briged Bantuan Bencana BIKUM, pasukan perubatan, pemimpin setempat, pengamal media dan sayap parti yang lain.

“Kita semua sedar usaha membantu rakyat ini tiada penamatnya dan sebagai sebuah parti yang komited membantu rakyat, UMNO tidak akan berhenti dalam usaha ini. Dalam situasi yang amat berbeza dan semakin mencabar kini, sudah pasti rakyat sentiasa mengharapkan pembelaan, sokongan dan bantuan. Maka, kita perlu sentiasa memperkukuh dan mempergiatkan usaha ini,” tambahnya lagi. -UMNOOnline

Leave a Reply