Hubungan Baik Dengan Kuasa Besar Bukan Bermakna Kita Dijajah – Jais

Hubungan Baik Dengan Kuasa Besar Bukan Bermakna Kita Dijajah – Jais

JOHOR BAHRU, 19 Sept – Hubungan baik dengan mana-mana negara termasuklah dengan negara-negara yang mempunyai kuasa besar bukan bermakna dan bererti kita dijajah dan apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Amerika Syarikat adalah untuk kepentingan negara dan kepentingan bersama.

Amat jauh sekali dan amat tidak bertepatan sekiranya pendapat serta tohmahan mengatakan kunjungan serta pertemuan Datuk Seri Najib dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump tidak memberi manfaat kepada negara, demikian menurut Exco Kerajaan Johor, Datuk Md Jais Sarday.

Serentak itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota menyeru agar kerajaan meneruskan langkah sedemikian rupa kerana akhirnya kelak insya Allah, limpahan faedahnya akan dapat dinikmati bersama seluruh rakyat Malaysia.

“Teruskan buat yang terbaik untuk Malaysia.. berbaik dengan kuasa besar bukan bererti kita dijajah…Kita nak negara kita aman, makmur dan sejahtera..Itulah yang terbaik dan segala perancangan serta pelaksanaan adalah untuk kepentingan rakyat dan bukannya kepentingan mana-mana pihak sekali pun.

“Mereka yang melemparkan pelbagai tohmahan adalah untuk melihat kegagalan kerajaan dalam membangunkan negara dan membantu rakyat secara keseluruhannya. Dengan cara demikian usaha mereka bagi mengelirukan rakyat akan membuahkan hasil dan mereka yang akan mengaut keuntungannya kelak,” katanya kepada UMNO-Johor, di sini, hari ini.

Jais seterusnya menambah sesuatu yang amat janggal dan sesuatu yang cukup pelik apabila soal pelaburan baik di dalam negara mahu pun di luar negara seolah-olah dijadikan ‘peluru’ politik oleh parti pembangkang.

“China datang melabur di negara kita ditohmah dengan macam-macam…gadai negara la…gadai kedaulatan la…begitu juga tohmahan mereka terhadap syarikat minyak Arab Saudi yang sebelum ini membeli sebahagian ekuiti dalam aset projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Johor. Macam-macam yang timbul.

“Jadi pada saya tidak peliklah dengan pelbagai tohmahan mereka hari ini. Apa yang penting sepertimana yang saya katakan tadi, teruskan usaha untuk kepentingan rakyat dan negara. berbuat baik dengan kuasa besar bukan bermakna kita dijajah,” katanya.

Leave a Reply