Ayub arah JPNJ dan PPD segera patuhi titah Sultan

Ayub arah JPNJ dan PPD segera patuhi titah Sultan

Johor Bahru, 16 Sept – Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Jabatan Pendidikan Daerah (PPD) di negeri tersebut telah diarahkan supaya mengambil tindakan segera bagi mengenalpasti semua pusat pendidikan milik kerajaan mahupun swasta.

Ini supaya semua maklumat mengenai premis bangunan tersebut dapat diserahkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Pihak Bomba akan memberikan konsultansi, amaran seterusnya mengarahkan operasi pusat pendidikan terbabit ditutup.

“Saya juga telah mengarahkan JPNJ untuk memberikan tindakan tegas dan tidak teragak agak menutup operasi pusat pendidikan haram di negeri ini demi memastikan keselamatan para pelajar dan guru terutamanya di negeri ini agar tidak berlaku,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat dalam satu kenyataan hari ini.

Ini susulan daripada titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya pihak Bomba dan Penyelamat Malaysia mengambil tindakan segera bagi mengenal pasti sekolah-sekolah yang berisiko tinggi berlaku kebakaran di seluruh Johor.

Disamping itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah itu turut meminta mereka yang mempunyai maklumat tentang premis pendidikan haram di negeri Johor untuk terus menyalurkan maklumat kepada JPNJ atau PPD berdekatan untuk diambil tindakan.

Ayub turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kebakaran sebuah sekolah tahfiz di ibu negara yang meragut 23 nyawa pelajar dan guru dalam kejadian awal pagi semalam.

Sultan Ibrahim semalam dalam satu kenyataan bertitah supaya pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan segera terhadap mereka yang beroperasi secara haram.

Ini termasuk madrasah, pusat-pusat tuisyen, sekolah berasrama penuh, sekolah rendah dan menengah.

“Jika mereka didapati melanggar peraturan dan undang-undang, pihak berkuasa jangan teragak-agak untuk tutup premis mereka,” titah Sultan Ibrahim.

Leave a Reply